AM > BERITA

Cadangan Undang-undang FOI Perlu Cermin Realiti Malaysia

29/03/2025 11:50 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia boleh mempelajari amalan terbaik antarabangsa mengenai kebebasan maklumat (FOI), tetapi perlu merangka undang-undang tersendiri berdasarkan sensitiviti tempatan dan struktur politik, kata Pakar Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan.

Menyentuh mengenai Akta FOI di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, beliau berkata Malaysia boleh mengadaptasi prinsip asas sambil mengenakan had yang bersesuaian.

“Di AS, sesiapa sahaja – warganegara atau bukan – boleh memohon maklumat kerajaan. Saya rasa model itu tidak sesuai untuk kita. FOI di Malaysia harus terhad kepada warganegara sahaja,” katanya kepada Bernama. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata keputusan Kerajaan Perpaduan mengenai penggubalan Akta FOI mencerminkan ketelusan kerajaan yang berpegang kepada asas bahawa setiap rakyat harus diberikan hak untuk mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium atau platform.

Beliau berkata dalam konteks Malaysia, matlamat utama kerajaan untuk memastikan orang awam mendapat akses kepada maklumat sahih yang lebih terbuka dan telus daripada pihak kerajaan dan secara tidak langsung akan membantu rakyat untuk terlibat dalam proses pembentukan dasar negara.

Azmi berkata pengenalan undang-undang FOI perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan keseimbangan antara ketelusan dan keharmonian negara.

“Persoalan utama di sini sama ada kita bersedia atau sebaliknya. Ia bukan sekadar tentang perihal ketelusan malah juga berkait menguruskan jangkaan dan melindungi keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata undang-undang FOI yang dirangka dengan baik akan meningkatkan lagi imej Malaysia di persada antarabangsa. 

“Mana-mana negara yang mempunyai undang-undang FOI dilihat memperkasakan rakyatnya. Malaysia boleh mendapat manfaat daripada itu – tetapi perlu melakukannya dengan acuan kita sendiri,” katanya.

Peguam dan bekas pengerusi Badan Peguam Selangor Kokila Vaani Vadiveloo yang turut menyokong inisiatif itu berkata Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) masih menjadi kekangan utama terhadap ketelusan.

“Walaupun terdapat undang-undang FOI di Pulau Pinang dan Selangor, OSA masih mempunyai kuasa yang besar dalam mengehadkan akses,” katanya.

Kokila berkata undang-undang FOI yang bermakna perlu merangkumi badan penyemak bebas dan disertakan dengan pembaharuan terhadap undang-undang kerahsiaan.

“Negara-negara yang mempunyai rangka kerja FOI yang kukuh cenderung mendapat skor lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Jika Malaysia serius dalam memerangi rasuah, rangka kerja FOI yang kukuh adalah penting,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan mengubah cara pemikiran institusi dan meningkatkan kesedaran awam.

“Ia bukan semata-mata soal meluluskan undang-undang. Jika budaya kerahsiaan terus berlaku, walaupun mempunyai undang-undang FOI yang terbaik keberkesanannya tetap sukar untuk dicapai.

“Perlu ada kempen kesedaran di seluruh negara agar orang ramai memahami hak mereka.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan