AM > BERITA

Pemandu Bas Ekspres Positif Dadah Ditahan Dalam Operasi Aidilfitri Di Sibu

29/03/2025 11:15 PM

SIBU, 29 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu bas ekspres didapati positif dadah dalam Operasi Khas Hari Raya Aidifitri (HRA) 2025 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu petang semalam.

Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu Azimah Marsid berkata ujian di lapangan mendapati pemandu berusia 68 tahun itu didapati positif mengambil dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), Methamphetamine dan ketamin.

“Pemandu itu kini ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. AADK Sibu juga akan menghantar laporan lengkap kepada Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selepas proses berkenaan selesai, AADK akan memohon perintah mahkamah sama ada pemandu itu perlu menjalani program di pusat pemulihan penagihan narkortik (PUSPEN) atau pengawasan dalam komuniti.

“Lelaki yang memandu bas bagi perjalanan Sibu ke Kapit itu merupakan antara 10 orang pemandu bas yang menjalani ujian saringan air kencing semasa operasi yang dijalankan di Terminal Bas Jalan Pahlawan di sini,” katanya. 

Sementara itu, Azimah berkata AADK Sibu akan sentiasa bekerjasama dengan pihak JPJ bagi mengesan pemandu-pemandu kenderaan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan