AM > BERITA

Op Selamat 24/2025: Kadar Kemalangan Meningkat 16 Peratus Pada Hari Pertama

30/03/2025 08:52 PM

IPOH, 30 Mac (Bernama) -- Sebanyak 2,040 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada hari pertama pelaksanaan Op Selamat 24/2025 semalam, peningkatan 16 peratus berbanding 1,758 kes dicatatkan bagi tempoh sama Op Selamat 22/2024.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bagaimanapun kes kematian akibat kemalangan jalan raya menurun kepada tujuh kes berbanding 21 kes yang dicatatkan pada tempoh sama.

“Lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan bandaran antara kategori jalan yang merekodkan peningkatan kes kemalangan. Ini disebabkan pertambahan kenderaan yang menuju ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

“Kategori kematian mengikut pengguna jalan raya mendapati empat kes daripada jumlah keseluruhan melibatkan penunggang motosikal, dua kes pejalan kaki serta satu kes membabitkan pemandu kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Advokasi Op Selamat 24/2025 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Plaza Tol Ipoh Utara (Jelapang) di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Yusri berkata 8,841 saman dikeluarkan pada hari pertama operasi iaitu peningkatan 16 peratus berbanding 7,308 saman dalam tempoh sama.

“Hal ini pihak polis meningkatkan pengeluaran saman secara bersemuka yang bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.

Mohd Yusri berkata satu pasukan khas ditubuhkan iaitu Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) yang ditempatkan di 13 lokasi melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Pasukan ini telah bersiap siaga dan memantau selama 24 jam dan kita akan membantu jika berlaku sebarang kemungkinan terhadap pengguna jalan raya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan