AM > BERITA

Jalan Gua Musang-Kuala Lipis Semakin Sesak, Pertambahan Kenderaan Berganda

29/03/2025 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa jalan utama Persekutuan melibatkan jajahan Gua Musang, Kelantan dilaporkan semakin sesak dengan pertambahan berganda kenderaan dari Kuala Lumpur setakat pukul 10 malam ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kesesakan jalan raya di pintu masuk di sempadan Gua Musang-Kuala Lipis sudah melebihi 10 kilometer (km), sekali ganda berbanding pagi tadi.

"Kenderaan bergerak perlahan dan kami menjangkakan pertambahan kenderaan akan terus berlaku pada tengah malam hingga awal pagi nanti," katanya.

Beliau berkata pihaknya menjalankan penyuraian dari semasa ke semasa dan anggota bertugas secara bergilir-gilir bagi memastikan kenderaan bergerak secara terkawal.

Sementara itu di TERENGGANU, aliran trafik di dua laluan utama di daerah Jertih yang menjadi penghubung antara Terengganu dan Kelantan mengalami peningkatan jumlah kenderaan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata bagaimanapun keadaan di kedua-dua laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu di bandar Jertih dan Kampung Raja masih terkawal meskipun kenderaan semakin banyak sejak 4 petang tadi.

“Sebagai langkah alternatif untuk mengurangkan kesesakan, polis telah menambah satu lagi lorong dari arah Kuala Terengganu ke arah Kota Bharu bermula dari bandar Jertih sehingga hadapan Balai Polis Jertih sejauh hampir satu km.

“Ini menjadikan laluan dari Kuala Terengganu ke Kelantan mempunyai dua lorong manakala laluan dari arah bertentangan hanya dibuka satu lorong memandangkan trend sebelum ini, trafik dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azamuddin berkata seramai 40 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut terlibat dengan penugasan sepanjang Op Selamat 24 ini.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan