AM > BERITA

Lebih 170,000 Kenderaan Direkod Memasuki Terengganu Sempena Aidilfitri

30/03/2025 03:13 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Sebanyak 172,331 kenderaan direkodkan memasuki Terengganu sejak Jumaat lepas sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ia termasuk di laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Persekutuan yang bersempadan dengan Pahang serta Kelantan.

Beliau berkata jumlah kemasukan tertinggi direkodkan melalui laluan LPT2 iaitu 152,331 kenderaan.

“Selain LPT2, kita juga merekodkan 20,000 kenderaan masuk di Jalan Persekutuan iaitu di Kuala Kemaman, Terengganu dari arah Kuantan dan sempadan Jertih, Terengganu dari arah Pasir Puteh, Kelantan.

“Kemasukan paling tinggi direkodkan di LPT2 semalam (Sabtu) iaitu 65,975 kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas Op Selamat 24 Aidilfitri di Plaza Tol Kuala Terengganu (Tol Gemuruh) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata 260 anggota dan pegawai polis termasuk di daerah-daerah dikerah bertugas sepanjang Op Selamat bermula 29 Mac hingga 3 April depan.

Beliau berkata pada operasi kali ini juga, 25 lokasi diletakkan dalam senarai sering berlaku kesesakan, manakala 21 kawasan dikenal pasti sebagai kerap berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut di seluruh negeri.

“Untuk kawasan sering berlaku kesesakan, kita  kenal pasti enam lokasi di Kuala Terengganu, Besut (lima), Marang (empat), Kemaman (tiga), Dungun (tiga), Hulu Terengganu (dua) dan Setiu (dua).

“Sementara kawasan kerap berlaku kemalangan pula enam lokasi di Marang, Besut (empat), Kuala Terengganu (tiga), Setiu (tiga), Kemaman (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan