AM > BERITA

Nahas Ragut Lima Nyawa : JPJ Siasat Audit Keselamatan Syarikat Treler

30/03/2025 08:56 AM

IPOH, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terperinci serta tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di KM58.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Kluang, Khamis lepas. 

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata siasatan berkenaan dijalankan bagi mengesan sama ada syarikat terbabit mematuhi atau tidak aspek teknikal ditetapkan dalam laporan JISA. 

Beliau berkata siasatan sudah dijalankan oleh pihak JPJ sebaik kemalangan itu berlaku mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). 

"Setakat ini masih belum ada keputusan daripada hasil siasatan terbabit selain kita juga masih menunggu keputusan laporan daripada pihak polis. 

"Jadi selepas kertas siasatan ini siap sepenuhnya, JPJ akan serahkan semua laporan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dan tindakan selanjutnya," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Pemantauan dan Pemeriksaan Bas Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Terminal Terminal Amanjaya di sini, malam tadi. 

Hadir sama Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan. 

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan siasatan terperinci dan telus akan dijalankan berhubung kemalangan maut yang meragut lima nyawa di KM58.1 Lebuhraya PLUS. 

Sementara itu, Aedy Fadly berkata hasil semakan turut mendapati pemandu treler terbabit mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk dua rekod dengan pihak polis. 

"Rekod JPJ mendapati pemandu telah melakukan kesalahan teknikal dari 2017 hingga 2022 namun semua kesalahan tersebut telah diselesaikan. 

"Antaranya dua kesalahan gagal patuhi notis pemeriksaan berkala, bawa muatan secara tidak selamat dan bawa muatan menjulur melebihi badan kenderaan," katanya. 

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan