AM > BERITA

Waspada Gegaran Gempa Bumi

30/03/2025 11:05 AM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Walaupun kedudukan Malaysia di luar Lingkaran Api Pasifik, tiada jaminan negara bebas daripada risiko gempa bumi justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap gegaran yang berlaku susulan gempa bumi di negara jiran.

Presiden Institut Geologi Malaysia Abd Rasid Jaapar berkata Malaysia walaupun tidak terletak di atas garisan pertembungan plat tektonik utama sekali gus mengurangkan risiko gempa bumi besar, namun dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini beberapa gempa bumi kecil telah berlaku di beberapa kawasan tertentu di tanah air.

“Gempa bumi tidak boleh diramal kedudukan atau dijangkakan magnitudnya, jadi risiko memang ada, sebagai contoh Bukit Tinggi (Pahang) sendiri pernah alami gempa bumi 3.8 pada skala Richter, tapi secara umumnya di Semenanjung buat masa ini tiada risiko tinggi.  

“Kalau kata tiada risiko langsung pun tak boleh juga, kejadian tabii seperti gempa bumi ini tidak boleh sangka, kena berhati-hati, tapi tak perlu bimbang. Cuma di Sabah, risikonya lebih tinggi kerana titik gempa lebih dekat yang biasanya berlaku akibat himpitan pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia, selain disebabkan pergerakan sesar aktif tempatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada skala Richter melanda kawasan sama.

Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh, Vietnam.

Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015, manakala rekod gegaran paling kuat di Sarawak adalah dengan kekuatan 5.3 skala Richter pada 1994.

Semenanjung juga pernah mengalami beberapa kejadian gempa bumi dengan pusat gempa di Bukit Tinggi, Empangan Kenyir (Terengganu), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Manjung serta Temenggor di Perak dengan julat kekuatan 1.6 hingga 4.6 skala Ritcher yang berlaku pada 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Azman Yusoff berkata sejak 10 tahun lepas hampir semua bangunan baharu berskala tinggi di Malaysia menggunakan bahan binaan dan reka bentuk yang memiliki daya tahan gempa bumi.

Beliau berkata kerajaan menerusi Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan kod reka bentuk bangunan tahan gempa yang antara lain membolehkan bangunan kediaman, menara pencakar langit dan pusat beli-belah mengasingkan asasnya daripada pergerakan bumi serta mengelakkan struktur runtuh akibat daya tenaga seismik daripada gegaran gempa. 

Menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sentiasa bersiap sedia dengan melakukan koordinasi latih amal pengurusan bencana terutamanya di kawasan berisiko di Sabah.

“Walaupun kedudukan Malaysia di luar Lingkaran Api Pasifik, tapi kawasan yang paling bahaya kalau ada bencana gempa bumi adalah di Gunung Kinabalu, Sabah, disebabkan itu SMART selalu buat latih amal di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata SMART juga diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pasukan yang mempunyai kemahiran bertaraf dunia dalam menyelamat bangunan runtuh selain turut dilengkapi peralatan terkini dan canggih.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip pula berkata setakat ini MetMalaysia mengoperasikan 80 sensor seismik bagi mengesan sebarang aktiviti gempa bumi dalam negara dan serantau.

“Setakat ini MET juga mengoperasikan 83 siren tsunami yang terletak di lokasi-lokasi yang terdedah kepada tsunami seluruh negara. Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) berupaya untuk menyalurkan maklumat gempa bumi kepada orang awam dalam tempoh lapan minit selepas dikesan oleh sensor,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khamarrul Azahari Razak mengesyorkan kerajaan agar mempertingkatkan kesiapsiagaan rentas sektor sama ada dalam kalangan agensi penyelamat dan aset yang akan digunakan sekiranya berlaku bencana. 

“Kita juga perlu mengambil kira bagaimana proses evakuasi, proses tindak balas dan respons kepada kecemasan seperti memindahkan penduduk dengan jumlah yang besar ke kawasan-kawasan yang lebih selamat,” katanya. 

Menurutnya sejak gempa bumi di Sabah pada 2015 yang mengorbankan 18 nyawa, pihaknya kerap turun ke negeri itu bagi memberikan pendidikan berhubung langkah siap siaga sekiranya bencana berkenaan berlaku. 

Sebelum ini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019 sebagai langkah mitigasi mengurangkan risiko kerosakan akibat gegaran gempa.

Ia antara lain memberi fokus kepada reka bentuk bangunan tahan gegaran gempa perlu diaplikasi dan menjadi rujukan dalam pembinaan bangunan di Malaysia dengan mencirikan zon bahaya bencana seismik berdasarkan pecutan tanah puncak (PGA).

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan