SUKAN > BERITA

GANDINGAN BERSAMA EE WEI SUNTIK LEBIH KEYAKINAN BUAT BING KUN

01/04/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pemain beregu campuran negara Loo Bing Kun menyifatkan gandingan bersama pasangan baharu Toh Ee Wei bakal menambah keyakinannya untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa. 

Atlet berusia 21 tahun itu berkata beliau akan memanfaatkan peluang bergandingan bersama Ee Wei untuk menimba ilmu, memandangkan pasangan yang juga seniornya itu mempunyai pengalaman lebih luas.  

“Jika dengan gandingan sebelum ini, saya yang perlu bimbing pasangan saya, tapi kali ini dengan Ee Wei dia lebih senior, pengalaman lebih luas, saya lebih yakin untuk kejohanan akan datang.

“Saya bergandingan dengan Ee Wei untuk empat atau lima kejohanan bagi melihat keserasian. Jadi dalam tempoh singkat ini memberikan peluang kepada saya menimba ilmu sebanyak mungkin. Diharapkan saya dapat melangkah ke tahap lebih baik,” katanya selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini. 

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu juga berkata masih banyak perkara perlu ditambah baik bagi memastikan keserasian bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan dirinya berdepan beberapa tekanan apabila digandingkan dengan Ee Wei yang berada di ranking keempat dunia, menjangkakan beberapa ekspektasi tinggi daripada jurulatih. 

“Tapi saya sudah berbincang dengan jurulatih dan Ee Wei mengenai tekanan ini dan mereka akan membantu saya untuk atasinya,” katanya. 

Jumaat lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Chen Tang Jie-Ee Wei dipisahkan bagi kejohanan akan datang berdasarkan cadangan daripada panel kejurulatihan, termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky dan Ketua Jurulatih Beregu Campuran Nova Widianto.

Ia selepas pasangan itu digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan, susulan ketegangan dalam hubungan selain memberi ruang kepada menyelesaikan isu antara mereka.

Rexy kemudian mengumumkan Tang Jie akan bergandingan dengan Chan Wen Tse sementara dalam beregu lelaki, beliau akan digandingkan dengan Wong Vin Sean.

Ee Wei pula akan berpasangan dengan Loo Bing Kun dalam lima kejohanan bermula Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan