KLUANG, 30 Mac (Bernama) -- Ingin membantu golongan B40 dan berpendapatan rendah mendapatkan baju raya yang selesa, itulah antara sebab bagi pasangan yang berbangsa Cina di daerah ini, Chee Sur Wing, 32, dan isterinya Rita Too Wan Er, 31, menjual baju berkenaan pada harga serendah RM50 sepasang.
Chee berkata tahun ini merupakan tahun kedua mereka menjualnya dengan harga sedemikian dan usaha itu diteruskan kerana mendapat sambutan yang menggalakkan, sehingga mereka mampu menjualnya kira-kira 10,000 pasang tahun lepas.
Beliau berkata antara yang dihasilkan adalah baju Melayu Cekak Musang, baju Melayu Johor (Teluk Belanga), baju kurung (untuk wanita) dan baju kebaya yang kesemuanya berharga RM50 sepasang yang boleh didapati dengan pelbagai saiz sehinggalah 7XL.
“Walaupun dijual dengan harga RM50 sepasang, tetapi kami pentingkan kualiti terutamanya pada jenis kain dan jahitan yang menggunakan kain jenis satin serta ‘Como Crepe’, selain menggunakan benang yang baik agar ia mampu bertahan lama.
“Setelah mendapat sambutan yang menggalakkan tahun lepas, kami telah membuka tempahan awal tahun ini dengan tempahan dibuka sejak bulan Januari lagi dengan kira-kira 20,000 pasang baju telah terhasil tahun ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Chee yang menggunakan jenama ‘Pahlawanku’ berkata baju yang dihasilkannya itu hanya dijual di daerah Kluang dan sekitarnya kerana hasratnya adalah untuk membantu mereka yang berada di kawasan tempat kelahirannya itu terlebih dahulu.
Beliau berkata buat masa ini baju yang dihasilkan dijual di kedainya yang terdapat di bandar Kluang bagi tempahan serta bazar Aidilfitri, juga di Kluang bagi yang telah siap dengan pelbagai saiz.
“Untuk tahun ini kami juga menjual baju dengan harga pakej iaitu RM180 untuk sekeluarga dengan sepasang baju lelaki dewasa, sepasang baju kanak-kanak lelaki, sepasang baju wanita dewasa dan sepasang baju kanak-kanak perempuan.
“Selain itu, kami turut menjual pelbagai jenis kurta dengan harga bermula daripada RM15,” katanya yang turut mendapat idea untuk menjual baju raya dengan harga yang murah daripada kenalannya yang berbangsa Melayu.
Chee dan Rita turut sering terlibat dengan aktiviti kebajikan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin (wakil rakyat) tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial