AM > BERITA

Peniaga, PBT Perlu Bertanggungjawab Dalam Menjalankan Peranan - Sultan Pahang

30/03/2025 06:44 PM

KUANTAN, 30 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  menyeru peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Al-Sultan Abdullah bertitah peniaga di Pahang perlu mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang ditetapkan, manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil iaitu menggunakan budi bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

"Dalam keghairahan untuk menyambut lebaran pastinya peniaga mengambil kesempatan untuk melipatgandakan sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli. 

"Apa jua bentuk urus niaga yang dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan. PBT pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak," titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang. 

Baginda bertitah sekiranya berlaku sesuatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan. 

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon Muhammad Zaimuddin Azlan yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat.

Simpati dengan keadaan menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Muhammad yang tiba pada pukul 12.30 tengah hari tadi turut bertanya keadaan kesihatan peniaga berkenaan dan menyampaikan kurniaan peribadi  Sultan Pahang kepadanya. 

Muhammad Zaimuddin yang lebih dikenali sebagai 'Abang Belon', kini dirawat di Hospital Serdang, Selangor akibat kecederaan selepas insiden berkenaan. 

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau mengambil maklum bahawa individu yang terlibat dalam insiden melibatkan peniaga belon dan penguat kuasa DBKL baru-baru ini merupakan anak kelahiran Pahang.

“Justeru saya telah meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi melihat dan memberi bantuan yang sewajarnya sesuai dengan keperluan individu terbabit.

“Saya difahamkan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan