AM > BERITA

Pulau Pinang Jadi Tumpuan Pelancong, Industri Pelancongan Semakin Berkembang

06/04/2025 06:01 PM

GEORGE TOWN, 6 April (Bernama) -- Kawasan pelancongan di Pulau Pinang terutama pantai dan Bukit Bendera menjadi tumpuan orang ramai sepanjang cuti sempena Aidilfitri dan cuti sekolah, menunjukkan industri pelancongan negeri terus berkembang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata perkara itu, secara tidak langsung menafikan dakwaan Pulau Pinang kurang menerima pelancong sepanjang cuti selama seminggu tersebut.

“Menurut Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) lebih 51,000 pelawat telah menaiki kereta api funikular Bukit Bendera bermula 28 Mac hingga kini dan jumlah itu sangat memberangsangkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Wong berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang pemimpin politik, kononnya kerajaan negeri kurang kreativiti sehingga gagal memajukan sektor pelancongan, selain mendakwa kadar penginapan hotel di Pulau Pinang kurang 50 peratus walaupun dalam tempoh cuti sekolah.

Wong berkata PBBPP dengan kerjasama Rapid Penang dan kerajaan negeri juga menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik ke Bukit Bendera percuma selama lima hari bermula 29 Mac, sempena sambutan Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan di situ.

“Orang ramai banyak menggunakan bas percuma kerana lebih mudah dan ini merupakan kali ketujuh kita menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada pengunjung Bukit Bendera,” katanya.

Selain itu, Wong berkata pemantauan dan tinjauan juga mendapati beberapa kawasan pelancongan terutama sekitar pantai dari Tanjung Bunga hingga Batu Ferringhi, juga dipenuhi orang ramai sempena musim perayaan kali ini.

“Kita boleh lihat restoran nasi kandar terutamanya yang terkenal juga dipenuhi orang ramai untuk menikmati juadah pilihan pelancong jika berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata kadar tempahan hotel di negeri ini sejak 28 Mac ialah sekitar 50 peratus, manakala kawasan Batu Ferringhi mencapai antara 60 hingga 70 peratus.

Beliau berkata menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadar tempahan hotel ketika cuti Aidilfitri sekitar 50 peratus hingga 70 peratus, kerana ramai pulang ke kampung untuk beraya dan bukan melancong seperti di musim cuti sekolah.

“Mereka yang menyambut Aidilfitri pulang ke kampung. Jadi mereka tidak tinggal di hotel sebaliknya di rumah keluarga, selain menziarahi ahli keluarga. Bagaimanapun, di Pulau Pinang masih ada pelancong lain datang bercuti,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jambatan Pulau Pinang serta jalan utama di kawasan pulau terutama George Town dan Batu Ferringhi, sesak dengan kenderaan.

Lokasi seperti Jeti Chew atau juga dikenali sebagai Tan Jetty iaitu perkampungan kecil nelayan atas air, Armenian Street, Bukit Bendera dan Padang Kota turut menjadi tumpuan pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


EIY MJ SSS HIS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan