EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MINTA PENJELASAN AS BERHUBUNG TARIF 24 PERATUS - TENGKU ZAFRUL

07/04/2025 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Malaysia sedang mendapatkan penjelasan daripada Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif balas sebanyak 24 peratus yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas import AS, menjelaskan purata tarif sebenar adalah kira-kira 5.6 peratus berdasarkan purata kadar tarif negara paling dihargai (MFN) yang mudah.

“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif ini dan kami meminta penjelasan mengenainya daripada duta AS dan pasukannya pagi ini.

“Asas pengiraan yang tidak tepat ini menyebabkan Malaysia dikenakan tarif balas sebanyak 24 peratus,” katanya pada sidang media mengenai impak tarif AS di sini hari ini.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia tidak akan respons dengan langkah balas terhadap produk AS.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk mendapatkan resolusi adil yang memelihara akses pasaran, menarik pelaburan asing dan menyokong kesejahteraan perniagaan dan pekerja Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia berhasrat untuk terus menjadi rakan dagangan yang dipercayai, terbuka kepada perdagangan dan pelaburan selain menghargai semua kerjasama ekonomi, termasuk hubungan dengan rakan kongsi tradisional seperti AS dan China.

“Kita adalah negara perdagangan terbuka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan