AM > BERITA

Kebakaran Saluran Gas: Bekalan Gas Terganggu Di Beberapa Kawasan, Elektrik Tidak Terjejas 

07/04/2025 11:57 AM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia kekal stabil manakala bekalan gas terganggu di beberapa kawasan di zon tengah susulan kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor pada minggu lepas.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan insiden berkenaan turut mengakibatkan gangguan bekalan di empat stesen jana kuasa utama di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Janakuasa Putrajaya.

“Namun, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.

“Antara langkah mitigasi yang diambil termasuk pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu dan pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko," menurut kenyataan itu.

Langkah-langkah mitigasi interim juga sedang diteliti secara berterusan dan pihak ST akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat. 

Sementara itu, menurut suruhanjaya berkenaan bekalan gas di Semenanjung Malaysia terganggu di beberapa kawasan di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta beberapa kawasan di zon utara.

“Pengguna yang terkesan telah mula menerima notis gangguan daripada pembekal masing-masing dan gangguan dijangka hingga 20 April. Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik, serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas,” menurut kenyataan itu.

ST dengan kerjasama beberapa pihak berkepentingan utama dalam sektor pembekalan gas dan elektrik, sedang memantau secara terperinci situasi pembekalan elektrik dan gas di Semenanjung Malaysia.

“Usaha kini tertumpu kepada menilai kesan gangguan bekalan gas, langkah-langkah mitigasi dan pelan interim dengan mengambil kira pelbagai senario sehingga keadaan pulih. Insiden kebakaran paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia," menurut kenyataan itu.

ST menyeru semua pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan menggalakkan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan