EKONOMI > BERITA

TARIF AS: SEMAKAN SEMULA KDNK AKAN BERLANDASKAN ANALISIS IMPAK MENYELURUH - AMIR HAMZAH

07/04/2025 09:13 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Dhaharuddin

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Sebarang perubahan kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5-5.5 bagi 2025 akan berlandaskan analisis impak menyeluruh yang dijalankan oleh Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata NGCC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.

"Ia akan menilai kesan tarif AS ke atas Malaysia," katanya di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan, yang bermula hari ini.

"Kita perlu mengadakan perbincangan untuk mencapai hasil yang lebih baik. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneraju usaha dari segi pendekatan tentang bagaimana kita akan berurusan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam hal ini,” katanya sambil menambah KDNK akan disasarkan semula berdasarkan kepada dapatan akhir yang dicapai.

Negara anggota rantau Indochina ASEAN adalah paling teruk terjejas oleh tarif AS itu dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik pada 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).

Manakala Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia kedua-duanya pada 24 peratus, Filipina 17 peratus, dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.

Di peringkat ASEAN, Amir Hamzah berkata blok 10 anggota itu bekerjasama untuk membina daya tahan rantau tersebut.

"Kerajaan akan menilai melalui analisis dan terlibat dalam perbincangan dengan AS serta rakan serantau untuk melihat bersama-sama kepelbagaian bagi membina fasa yang lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Mengenai penurunan nilai ringgit untuk mengatasi kesan tarif AS, Amir Hamzah berkata objektif Bank Negara  Malaysia (BNM) adalah untuk mengekalkan pasaran yang stabil supaya wujud kestabilan harga dalam pasaran.

"(Mengenai) ringgit, mata wang tempatan itu telah mengalami turun naik sebelum ini... tetapi akhirnya, persekitaran yang stabil dan boleh diramal telah membolehkan ia didagangkan dengan lebih baik. Saya fikir itulah tumpuan kita pada ketika ini," katanya.

Pada 6 petang hari ini, ringgit susut kepada 4.4775/4840 berbanding Dolar AS daripada paras penutup 4.4335/4400 pada Jumaat minggu lepas.

Sementara itu, Amir Hamzah turut menyeru pelabur supaya tidak panik dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran kewangan global, sebaliknya melihat peluang jangka panjang yang tersedia.

Menurut beliau, fasa ketidaktentuan dan turun naik pasaran adalah perkara biasa, namun apa yang penting ialah pelabur kekal fokus kepada pembangunan institusi yang kukuh untuk masa depan negara.

Beliau berkata, dalam situasi pasaran yang tidak menentu, ramai pelabur akan kembali kerana inilah masa untuk membuat pilihan strategik bagi memperkukuh portfolio masing-masing.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 60.34 mata kepada 1,443.80 daripada 1,504.14 pada Jumaat minggu lepas.

Bursa tempatan meneruskan penurunannya dengan ditutup rendah hari ini apabila indeks petunjuk pasaran utama susut sebanyak 4.01 peratus susulan prestasi lemah pasaran serantau di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perang perdagangan.

Di pasaran serantau Hang Seng Hong Kong merosot 13.22 peratus untuk ditutup pada paras 19,828.30 manakala Nikkei 225 Jepun turun 7.83 peratus kepada 31,136.58, Indeks Straits Times Singapura menguncup 7.66 peratus kepada 3,532.80 dan Kospi Korea Selatan susut 5.57 peratus kepada 2,328.20.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan