AM > BERITA

Projek Infrastruktur Di Pulau Pinang Tunjuk Kemajuan Positif - Chow

07/04/2025 06:10 PM

GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- Projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan di Pulau Pinang mencapai kemajuan positif hasil kerjasama erat dan sinergi menyeluruh antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta semua pihak berkaitan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata ketika ini terdapat beberapa projek utama yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC), antaranya projek jalan utama dan Laluan Ketiga, melibatkan pakej 2 laluan pintas dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam dan pakej 1 jajaran baharu Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

“Pakej 2 laluan pintas dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam kini mencapai kemajuan lebih 75 peratus, kerja-kerja fizikal dijangka siap hujung tahun ini.

“Pembangunan projek lebuh raya tanpa tol itu akan memberi kesan signifikan dalam mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam daripada 40 minit kepada hanya lima minit,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka CZC di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin. 

Chow berkata bagi pakej 1 NCPR, projek itu kini dalam peringkat memuktamadkan subperjanjian dengan kerja-kerja fizikal dijangka dimulakan pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau berkata selain kesesakan, projek itu turut memberi impak dalam mengurangkan masa perjalanan hanya 10 minit berbanding 45 minit hingga sejam ketika ini. 

Sebelum ini, Chow memaklumkan kerajaan Pulau Pinang meluluskan jajaran baharu NCPR dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dengan kos pelaksanaan dianggar berjumlah RM2.43 bilion.

Projek di bawah Komponen Jalan Utama dan Laluan ke-3 (PMRT) itu melibatkan laluan sepanjang 10.61 kilometer (km),  meliputi 8.41 km jalan utama dan 2.2 km laluan pesisir pantai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan