GEORGE TOWN, 30 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang sentiasa terus berusaha untuk memelihara aspek pembangunan syiar Islam, antaranya menerusi penyediaan peruntukan bagi pembangunan masjid, surau, sekolah agama rakyat dan instusi tahfiz, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini beliau berkata inisiatif memperkasa pendidikan Islam, termasuk menaik taraf sekolah-sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz diteruskan dengan komitmen bahawa dalam arus kemajuan serta pengagihan kemakmuran, tiada sesiapa yang dipinggirkan selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 dan pembentukan gagasan Visi Penang2030.
Chow sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM10.22 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta surau tahun ini, termasuk pembinaan masjid baharu, kerja-kerja baik pulih serta penyediaan kemudahan lebih selesa buat jemaah.
Selain itu beliau berkata berkata Pulau Pinang memperuntukkan RM14.2 juta bagi memperkasa pendidikan Islam di negeri, termasuk menaik taraf sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz.
Sementara itu Chow berkata beliau berharap sambutan Aidilfitri tahun ini akan dapat mengeratkan lagi ukhuwah dan persaudaraan sesama semua dalam sebuah keluarga besar yang harmoni, serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Budaya ziarah-menziarahi, bertukar-tukar buah tangan sebagai tanda ingatan juga masih subur diamalkan, sekali gus mencerminkan nilai kasih sayang dalam meraikan kepelbagaian semakin mengukuh. Nilai-nilai murni inilah yang menyokong pembentukan manusiawi dan ia perlu dipelihara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial