KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Gas Malaysia Berhad memperluas pengehadan bekalan gas susulan kekangan operasi yang disebabkan oleh insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, baru-baru ini.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan lain yang terjejas termasuk Merbau, Tronoh, Perai, Junjung and Hutan Melintang yang akan memberi kesan kepada lebih ramai pelanggan.
"Walaupun tempoh pengehadan yang diumumkan sebelum ini tidak berubah dan dijangka berterusan hingga 20 April 2025, Gas Malaysia telah dimaklumkan mengenai kawasan baharu dan tambahan pelanggan yang akan terjejas berikutan kekangan operasi yang berpunca daripada insiden itu,” menurut syarikat itu.
Susulan perkembangan baharu itu, Gas Malaysia telah meningkatkan usaha penyelarasan dengan pelanggan yang terjejas dan pembekal gas sekali gus bekerjasama bagi menguruskan keadaan secara efektif.
Menurut kenyataan itu, Gas Malaysia kekal komited untuk memberi sokongan dan kemas kini kepada semua pihak yang mengalami gangguan perkhidmatan.
“Mengurangkan impak kepada pelanggan, memastikan keselamatan awam dan memastikan integriti perkhidmatan kekal sebagai keutamaan utama Gas Malaysia sepanjang tempoh ini.
"Gas Malaysia menghargai persefahaman dan kerjasama berterusan semua pelanggan dan pihak berkepentingan ketika kumpulan mengharungi cabaran sementara ini,” menurut Gas Malaysia dan sebarang perkembangan terkini boleh didapati menerusi laman web rasmi www.gasmalaysia.com.
Gas Malaysia sebelum ini melaksanakan pengehadan bekalan gas di beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Kundang, Petaling Jaya, Teluk Panglima Garang, Pelabuhan Klang, Pulau Indah dan lokasi sekitarnya, berikutan kebakaran saluran gas yang membawa kepada penutupan sementara fasiliti gas berhampiran.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius yang mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 219 rumah disahkan mengalami kerosakan dalam kejadian itu manakala 220 rumah lagi diisytiharkan selamat dan tidak terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial