AM > BERITA

LSHSM Perkenal Rancangan Serlahkan Semula Menara KL Sebagai Mercu Tanda Utama Negara

09/04/2025 10:37 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), pengurusan baharu Menara Kuala Lumpur memperkenalkan pelan transformasi yang menyeluruh dan luar biasa untuk menyerlahkan semula mercu tanda negara berusia 28 tahun itu, dengan visi menjadikannya destinasi ikonik terunggul di Malaysia.

Memulakan konsesi rasminya pada 1 April lepas, syarikat itu berhasrat mengubah menara berkenaan menjadi hab pelancongan, kebudayaan dan komuniti bertaraf dunia sambil memelihara warisan seni bina serta memperkukuh peranannya sebagai fasiliti telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM Khairil Faizal Othman berkata langkah ini sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memberikan nafas baharu kepada Menara Kuala Lumpur (Menara KL) dan kawasan sekitarnya dengan penambahbaikan yang berpaksikan kelestarian, keterangkuman dan kebanggaan negara.

“Kami mahu ia terus menjadi simbol kebanggaan Malaysia, sambil mengadaptasi dengan keperluan moden dan jangkaan masa depan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama semalam.

Sebagai sebahagian daripada komitmen mereka, LSHSM melabur RM70 juta dalam tempoh lima tahun akan datang di bawah rancangan pemulihan berperingkat, memfokuskan kepada menaik taraf infrastruktur, pengalaman pelawat, ruang kebudayaan dan kelestarian alam sekitar.

Khairil Faizal berkata antara projek naik taraf utama yang dirancang ialah dek pemerhatian baharu dan skywalk pada pelbagai ketinggian di sekitar struktur menara, menawarkan pemandangan panoramik dan imersif latar langit ibu kota dan hutan hujan Bukit Nanas yang terletak berhampiran.

Beliau berkata bagi meningkatkan lagi pengalaman pengunjung, syarikat ini akan memperkenalkan tarikan baharu Tethered Balloon, iaitu pengalaman menaiki belon aras tinggi yang menyediakan pemandangan udara unik dari titik pandang baharu, menambah ciri pelancongan mesra keluarga kepada pengalaman keseluruhan.

Khairil Faizal berkata pengubahsuaian dalaman menara itu akan menjadi keutamaan, dengan tumpuan khusus kepada pergerakan pelawat, pergerakan di dalam ruang dan estetik moden yang mengekalkan elemen seni bina ikonik menara berkenaan.

Restoran berputar popular di Menara KL juga sedang menjalani transformasi besar, dengan kapasiti tempat duduk yang akan diperluas kepada 238 orang untuk menampung lebih ramai tetamu sambil mengekalkan pengalaman menjamu selera 360 darjah yang unik, membolehkan para pengunjung menikmati pemandangan indah ibu kota ketika restoran itu berputar perlahan-lahan.

“Hiasan dalaman restoran akan direka semula dengan motif songket yang diinspirasikan untuk mencerminkan identiti budaya kita, mewujudkan suasana menjamu selera yang tersendiri dan elegan yang berakar umbi dalam warisan Malaysia. Bertentangan dengan khabar angin, surau itu tidak akan dirobohkan,” katanya.

LSHSM juga berhasrat untuk mendapatkan pensijilan halal bagi restoran berkenaan, menjadikannya destinasi pilihan untuk pelancong Muslim baik dari dalam mahupun luar negara, sambil menambah baik penyajian makanan dan minuman keseluruhannya.

Selain penambahbaikan di bahagian dalam menara, LSHSM juga sedang melaksanakan pemulihan berfasa di seluruh kawasan sekitar, termasuk pengenalan premis runcit, makanan dan minuman, serta ruang acara fleksibel yang direka untuk majlis awam dan persendirian.

Beliau berkata kesemua naik taraf akan menggabungkan prinsip reka bentuk sejagat untuk memastikan akses penuh bagi golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga dengan anak kecil.

“Kami juga sedang mengubah tanah yang kurang digunakan di sekitar menara kepada ruang yang akan menempatkan pameran budaya, acara perayaan, majlis perkahwinan dan program rekreasi - menjadikan Menara KL sebagai hab komuniti dan perayaan,” katanya.

Inisiatif hijau akan menjadi tumpuan utama, dengan elemen kelestarian seperti taman menegak, bumbung hijau dan dinding hidup untuk mempromosikan biodiversiti, mengurangkan haba dan menyokong ekologi bandar, manakala teknologi bangunan pintar akan diintegrasikan ke seluruh menara untuk meningkatkan kecekapan tenaga, keselamatan dan kecemerlangan operasi secara keseluruhan.

Dari segi telekomunikasi, Khairil Faizal memberi jaminan bahawa fungsi utama menara sebagai pusat penyiaran dan komunikasi akan diteruskan tanpa gangguan, dengan sokongan penuh daripada LSHSM untuk mengekalkan infrastruktur teknikal pada standard tertinggi.

Dalam hal sumber manusia, Khairil Faizal berkata susulan pemberian notis pemberhentian oleh pengendali terdahulu pada Disember 2024, LSHSM telah mengutamakan kebajikan pekerja sepanjang proses peralihan dengan menawarkan pekerjaan kepada semua 205 kakitangan yang terlibat, termasuk bekas CEO.

Sempena sambutan hari raya, satu sesi dialog awam juga diadakan semalam, dihadiri Pengerusi LSH Capital Bhd Tan Sri Lim Keng Cheng, Khairil Faizal dan pekerja yang diserap daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) untuk menggalakkan penglibatan dan memberi keyakinan kepada mereka mengenai peluang pekerjaan yang berterusan.

“Sehingga kini, 95 peratus atau 193 daripada mereka telah menerima tawaran kami dan sudah bertugas mulai 1 April. Kesemua mereka ditawarkan dengan manfaat yang tidak kurang berbanding sebelumnya, dengan manfaat penuh dan berterusan,” katanya.

Dengan konsesi selama 20 tahun yang telah berkuat kuasa, LSHSM yakin bahawa Menara Kuala Lumpur akan mencapai tahap yang lebih tinggi bukan sahaja sebagai kemudahan telekomunikasi tetapi juga sebagai pusat kebudayaan, pelancongan, kelestarian dan identiti negara.

Menara KL kekal milik kerajaan, dengan hanya pengurusan dan operasinya berubah melalui projek kerjasama awam swasta (PPP) menerusi notis pelawaan cadangan (RFP).

RFP dijalankan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pembida yang berjaya, yang dipilih berdasarkan penilaian Kabinet, diumumkan pada 29 Mei 2024.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan