PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Sebanyak 39 orang daripada keseluruhan 150 mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 17 mangsa dirawat di hospital kerajaan manakala 22 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta, termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan seorang lelaki berusia 21 tahun.
“Mangsa yang dirawat di ICU hospital swasta melecur sebanyak 21 peratus pada tahap separa ketebalan dan ketebalan penuh di seluruh anggota badan, muka, leher dan belakang badan, dengan sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ," menurut data harian yang dikeluarkan oleh KKM hari ini.
KKM memaklumkan terdapat 12 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing seorang di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Ampang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Selain itu, aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, selain di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 112 individu menerima intervensi MHPSS.
Antara intervensi yang dilaksanakan adalah relaksasi, ekspresi seni dan kemahiran asas bantuan awal psikologi (PFA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial