KAJANG, 8 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merupakan antara 79 individu yang menerima watikah pegawai kehormat dan bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM), di sini hari ini.
Fadillah dilantik Ketua Pesuruhjaya Perdana (Pertahanan Awam) manakala Fahmi serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, masing-masing dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam).
Watikah pelantikan kesemua individu itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sambutan penutup Bulan Pertahanan Awam 2025 hari ini yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula, menerima watikah sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam).
Antara barisan Ketua Setiausaha (KSU) yang menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kehormat ialah KSU Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta KSU Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Isham Ishak.
Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata APM terus menjadi sumber inspirasi bukan sahaja di dalam negara, malah turut cemerlang di pentas antarabangsa.
“Saya optimis bahawa APM mampu muncul sebagai antara organisasi pertahanan awam yang paling disegani di dunia.
“APM mesti harus terus diperkasakan dengan teknologi moden seperti sistem amaran awal, dron pemantauan dan peralatan menyelamat canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.
Pada majlis itu, sistem Aplikasi Pengurusan Pegawai Kehormat atau Bersekutu APM turut dilancarkan untuk meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan Pegawai Kehormat atau Bersekutu yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pertahanan awam.
Sistem aplikasi pengurusan ini juga bertujuan bagi pengurusan rekod dan pemantauan aktiviti pegawai Kehormat atau Bersekutu APM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial