AM > BERITA

Gesaan Malaysia Kepada Kesepaduan ASEAN Elak Kesan Buruk Tarif AS

08/04/2025 10:48 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah & Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan menghantar delegasi ke Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk membincangkan tarif telah menjadi perhatian ketika kalangan pegawai kanan memuktamadkan mesyuarat persediaan menjelang Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12.

Selain itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diumumkan akan mengetuai delegasi itu ke Washington menjelang akhir April.

Langkah itu merupakan usaha Malaysia untuk mencari penyelesaian terbaik bagi perkara yang secara meluas dilihat sebagai pendirian keras dasar perlindungan yang dilaksanakan Presiden Donald Trump.

Sebagai pengerusi ASEAN 2025, seruan lantang Anwar selepas kekacauan susulan pengumuman tarif pada 2 April itu adalah supaya semua negara anggota lebih bergantung kepada rantau ini secara ekonomi, memerlukan langkah konkrit untuk meningkatkan perdagangan dalam rantau ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kesepaduan ekonomi Asia Tenggara adalah amat penting, memandangkan episod tarif AS itu bukan menjadi cabaran pertama kepada multilateralisme, dan tidak juga akan menjadi yang terakhir.

Tindakan yang lebih penting bagi ASEAN -- yang telah mengharungi pelbagai krisis termasuk peperangan, rampasan kuasa, bencana alam, dan kemelut kewangan -- adalah supaya menjadi benar-benar bersatu untuk menghadapi badai semasa itu.

Secara ringkasnya, dengan satu barisan yang bersatu dan sedikit kesabaran, ASEAN mungkin masih menjadi antara yang terakhir mempercayai bahawa dunia akan berfungsi dengan lebih baik apabila kalangan negara saling bekerjasama.

Walaupun negara anggota tertentu, seperti Vietnam, telah bertindak secara unilateral dengan menurunkan tarif ke atas import AS, Anwar mengulangi keperluan untuk mengembangkan hubungan ekonomi Asia Tenggara sebagai satu blok.

Tumpuan bagi mesyuarat hari ini adalah sesi tiga pihak yang melibatkan timbalan dan naib menteri kewangan dari China, Korea Selatan dan Jepun, yang kemudiannya berbincang dengan rakan sejawatan mereka dari ASEAN mengenai isu kewangan yang dihadapi.

Acara lain yang berlangsung di luar AFMGM adalah pelancaran rasmi fasa kedua Pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja, yang membolehkan pengguna dan peniaga di Malaysia dan Kemboja membuat dan menerima pembayaran segera daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Satu lagi acara adalah pelancaran platform dagangan saham pecahan yang baru diperkenalkan dikenali sebagai UP, yang berfungsi sebagai platform dagangan pecahan pertama di Bursa Malaysia, menggalakkan golongan muda dan individu berpendapatan rendah untuk melabur dalam pasaran modal.

Perkara yang turut dibincangkan hari ini adalah kejayaan awal Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Portal Fraud Kebangsaan, serta inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penipuan.

AFMGM esok akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan