AM > BERITA

ASEAN Libatkan Pelabur, ADB, Bank Dunia Bagi Pembiayaan Projek Grid Kuasa ASEAN

08/04/2025 11:48 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Blok Asia Tenggara sedang bekerjasama dengan pelabur serta bank pembangunan multilateral (MDB) untuk memperkukuh Grid Kuasa ASEAN (APG) iaitu grid saling bersambung utama yang dirancang antara negara anggota.

Ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN telah menghubungi beberapa MDB termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembiayaan itu bertujuan menyokong projek yang melibatkan penghantaran elektrik dari Vietnam ke Kelantan melalui kabel bawah laut, dengan pengagihan selanjutnya ke Singapura melalui talian penghantaran di daratan.

APG adalah inisiatif serantau yang diperkenalkan pada 1997 untuk menyambungkan infrastruktur elektrik antara negara anggota.

Perdana Menteri juga menekankan usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi blok ini.

Beliau juga berkata kalangan negara anggota juga telah memperluas kesalinghubungan pembayaran ASEAN antara Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Thailand.

“Pada hari ini, kita akan melancarkan (lanjutan) jalinan pembayaran antara Malaysia dan Kemboja, dengan aspirasi untuk meliputi negara-negara lain di ASEAN. Ini akan membantu menggalakkan perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN,” kata beliau.

Beliau berkata usaha itu akan merangsang integrasi ekonomi yang lebih kukuh untuk membolehkan perniagaan lebih memanfaatkan ASEAN sebagai pasaran dan akan terus memajukan juara serantau dalam sektor meliputi perkhidmatan kewangan, tenaga, pelancongan kesihatan, telekomunikasi dan logistik.

“Visi kita untuk ASEAN adalah menjadi sebuah rantau yang makmur, mampan dan inklusif, yang memerlukan keazaman politik, modal yang besar, kecekalan dan sedikit tuah.

“Ia juga memerlukan kemajuan yang pantas dalam inisiatif di peringkat subrantau,” kata beliau.

AIC diadakan sempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Mesyuarat yang berlangsung dari 7 hingga 10 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini itu berfungsi sebagai antara platform utama ASEAN untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan daya tahan kewangan secara kolektif.

10 negara anggota ASEAN ialah Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

ASEAN merupakan blok ekonomi kelima terbesar dunia, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$3.8 trilion pada 2023 dan jumlah penduduk sebanyak 677 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan