AM > BERITA

FRIM 40 Tahun: Komited Menerajui Penyelidikan Hutan Tropika Dan Inovasi Lestari

09/04/2025 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 pada Oktober tahun ini, komited untuk terus menerajui penyelidikan dalam bidang perhutanan tropika dan inovasi berasaskan sumber asli.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr. Ismail Parlan berkata sambutan ulang tahun ke-40 FRIM bukan sahaja untuk memperingati pencapaian yang telah diraih, tetapi juga sebagai simbol semangat institut itu untuk terus maju dengan visi global dan aspirasi terhadap kelestarian alam sekitar.

“FRIM berharap agar mendapat sokongan penuh daripada seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai status Tapak Warisan Dunia UNESCO, bagi manfaat generasi masa depan serta kelestarian alam sekitar. Ulang tahun ke-40 ini mencerminkan warisan gemilang serta hala tuju masa depan FRIM sebagai institusi penyelidikan yang berwibawa, lestari, dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Seiring sambutan tersebut, FRIM merancang pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini, yang akan berlangsung dari Mac hingga Disember, dengan acara kemuncak pada 4 Okt 2025 di FRIM Jalan Jelutong, Kepong.

“Sambutan ini bertujuan menghebahkan sumbangan FRIM kepada negara dan alam sekitar, meningkatkan kesedaran kepentingan kelestarian biodiversiti dan memperkasa jenama FRIM sebagai institusi penyelidikan global.

“Antara aktiviti yang dirancang termasuk, ceramah mengenai biodiversiti, khususnya berkenaan orkid hutan, FRIM Merdeka Run pada Ogos, serta Sambutan 100 Tahun Tapak Warisan pada Disember. Pada hari kemuncak, orang awam, pelajar, penyelidik, dan badan bukan kerajaan (NGO) dijemput hadir untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti pocket talks, lawatan denai dan pameran,” katanya. 

Dr. Ismail turut mengimbau sejarah penubuhan FRIM yang asalnya dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP), yang ditubuhkan pada 1926, dan kemudiannya dinamakan semula sebagai FRIM pada 1 Okt 1985.

Sejak itu, katanya, FRIM meraih pelbagai pengiktirafan atas pencapaian dalam penyelidikan, pembangunan, komersialisasi, dan inovasi yang memberi manfaat kepada negara.

“Antara pencapaian terbesar FRIM ialah penerimaan Anugerah Sains Mahathir pada 2009 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kami dalam penyelidikan dan pembangunan industri getah Malaysia.

"Kami juga menerima Anugerah UNESCO Sultan Qaboos pada 17 Nov 2021, di Persidangan Agung UNESCO ke-41 di Paris, Perancis,” katanya.

Menurut Dr. Ismail, anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha FRIM memantau dan memulihara spesies terancam yang penting kepada negara, selain menghasilkan penerbitan seperti Senarai Merah Tumbuhan Malaysia untuk tujuan pemuliharaan serta pendokumentasian pengetahuan tradisional masyarakat Orang Asli dan komuniti tempatan.

FRIM turut dikenali melalui pelbagai projek penyelidikan, antaranya Projek Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Orang Asli Berkaitan Tumbuhan Ubatan dan Beraroma di Semenanjung Malaysia, yang bermula sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2007 dan masih diteruskan sehingga kini.

“Projek ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendokumentasian maklumat kegunaan tumbuhan, tetapi turut melibatkan aktiviti ‘bioprospecting’ bagi menentusahkan khasiat perubatan tradisional serta mengenal pasti potensi terapeutik spesies tumbuhan terpilih,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan