AM > BERITA

Purata Harga Santan Segar Di Melaka Lebih Murah Berbanding Harga Maksimum

09/04/2025 03:51 PM

MELAKA, 9 April (Bernama) -- Purata harga santan segar di Melaka sekitar RM15 hingga RM17 sekilogram, lebih murah berbanding harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM17.50 sekilogram.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada pihaknya sekiranya terdapat peniaga dikesan menjual santan segar melebihi harga maksimum tersebut.

"Berdasarkan libat urus yang dijalankan bersama pengusaha santan segar di negeri ini, harga barangan berkenaan dapat dijual lebih murah antaranya disebabkan bekalan kelapa mencukupi selain penetapan harga maksimum ditetapkan kerajaan.

"Jadi, kita memberi jaminan tiada kenaikan harga santan segar selepas Aidilfitri ini dan berdasarkan pemantauan yang dilakukan hari ini, santan segar masih ada dijual dan mudah diperoleh pada harga yang adil," katanya kepada pemberita di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pemeriksaan pasca-Aidilfitri KPDN Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguat Kuasanya Rohaimin Mohammed Zawawi. 

Mohd Hazimin berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan harga santan segar yang dijual melebihi harga maksimum termasuk ketika menjelang Aidilfitri lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 25 aduan berkaitan harga ditetapkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 dalam tempoh 24 Mac hingga 7 April lepas. 

“Selain itu, tujuh kes berkaitan tidak menggunakan penandaan harga khas (merah jambu) turut dikesan sepanjang pelaksanaan skim tersebut.

“Dalam tempoh itu juga, KPDN Melaka menjalankan 188 pemeriksaan ke atas pelbagai rangkaian premis perniagaan berbanding 152 pemeriksaan sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan