KUCHING, 4 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMeC) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang bakal diadakan pada Jun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata tema utama persidangan itu bakal memberi tumpuan kepada perkembangan media terutama mengenai pengaruh kecerdasan buatan (AI).
“Program SMeC ini akan berlangsung satu setengah hari dan kita akan menjemput penceramah dari luar, sudah tentu tajuk utamanya mengenai media terutamanya pengaruh AI dalam pelbagai aspek.
“Pada masa sama ada juga yang mencadangkan kepada saya diadakan perbincangan mengenai peranan radio, kita tidak mahu radio sebagai platform media yang umpama ‘sunset kind of platform’,” katanya kepada pemberita selepas Program UKAS Berambeh Raya di sini hari ini.
Abdullah berkata peranan media tidak hanya tertumpu kepada wartawan tetapi juga melibatkan mereka yang bekerja di belakang tabir seperti editor.
“Kita mahu meraikan orang-orang kreatif di sebalik media sempena HAWANA peringkat negeri Sarawak ini.
“Walaupun kita bukan tuan rumah, kita akan kekalkan beberapa aspek HAWANA yang telah kita buat tahun lepas seperti Anugerah Penghargaan Premier Sarawak kepada beberapa wartawan negeri ini, veteran dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau HAWANA peringkat negeri Sarawak juga akan dimeriahkan dengan beberapa acara sukan untuk pengamal media melibatkan tiga zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
Sambutan HAWANA tahun ini yang akan diadakan di ibu negara bakal menjadi platform untuk menghimpunkan organisasi media dari seluruh ASEAN bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama, selain mengenal pasti cabaran terkini dalam industri media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial