AM > BERITA

Dua Penerbitan Dikenakan Tindakan Perintah Larangan Bawah Akta 301

10/04/2025 11:54 AM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa pada 10 Mac lepas terhadap dua tajuk penerbitan yang mungkin memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua tajuk itu adalah The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed oleh Abdullah Hashem dan Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/ Cyrus The Great dan Iskandar Agung.

"Tindakan Perintah Larangan bagi kedua-dua hasil penerbitan berkenaan adalah selaras dengan peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301.

“Akta itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan berkenaan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia," menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan Perintah Larangan bawah Akta 301 itu berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

"Pada masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum," menurut kenyataan itu.

KDN turut mengingatkan bahawa berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluarkan, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.

“Berdasarkan peruntukan berkenaan, individu terbabit boleh disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

"Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh menggangu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan