KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Institusi kekeluargaan perlu diperkukuh dengan pengetahuan agama termasuk menghayati prinsip Maqasid al-Nasab untuk memelihara keturunan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata pendidikan agama bukan setakat mengenai pengetahuan semata-mata tetapi penghayatan mendalam memainkan peranan yang sangat penting dalam mendepani pelbagai isu sosial hari ini.
“Penghayatan agama itu adalah untuk memastikan keluarga itu maqasidnya atau penghayatannya untuk memelihara keturunan, memelihara nasab.
“Insya-Allah dengan memahami maqasid ini dapat memberikan satu kefahaman kepada masyarakat sekali gus mungkin boleh membantu kita tangani (isu sosial),” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan media semalam berkaitan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan yang menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka.
Mengenai gejala buli di sekolah, Zulkifli berkata pendidikan adalah satu proses untuk melahirkan insan yang seimbang emosi, jasmani, rohani dan intelektual, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam untuk melahirkan insan yang seimbang, damai dan memiliki sahsiah yang baik.
“Jadi dalam konteks ini, konsep MADANI memainkan peranan penting kerana ia menekankan nilai, keihsanan, keyakinan dan kesejahteraan. Inilah yang perlu kita lakukan iaitu 'meMADANIkan' pendidikan itu dengan nilai yang dipanggil sebagai pendidikan manusiawi.
“Dalam aspek ini, kita perlu lihat semula tentang memanusiakan pendidikan dan juga melihat aspek nilai supaya dapat diterapkan kepada anak-anak kita. Insya-Allah saya yakin bahawa kerajaan dan prinsip MADANI ini sangat seiring untuk kita tangani isu sebegini,” katanya.
Baru-baru ini tular video memaparkan beberapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang membuli seorang pelajar lain dan susulan itu, Jawatankuasa Disiplin MRSM telah mengesyorkan tujuh pelajar yang terlibat ditamatkan pengajian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial