AM > BERITA

KPKT Laksana Tiga Fasa Pemulihan Kawasan Terjejas Tragedi Putra Heights - Nga

10/04/2025 06:47 PM

TAPAH, 10 April (Bernama) -- kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan tiga fasa utama bagi memulihkan kawasan yang terjejas akibat kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada 1 April lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kawasan tersebut kini telah memasuki fasa pemulihan selepas beliau mengadakan lawatan ke tapak kejadian semalam. 

Dalam sidang media selepas Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 di Pasar Awam Tapah Road, dekat sini hari ini,  beliau menjelaskan KPKT telah menubuhkan pasukan petugas khas pada hari kejadian untuk memulakan usaha pemulihan.

"Fasa pertama, kerja penyelamatan telah selesai. Fasa kedua, kerja pemulihan akan dilaksanakan pada hujung minggu ini, di mana lebih 2,000 orang daripada SWCorp, JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), PBT (pihak berkuasa tempatan) dan pasukan Selangor akan turun untuk kerja-kerja pembersihan pada hari Sabtu dan Ahad," katanya.

Beliau berkata fasa terakhir merupakan peringkat yang paling sukar iaitu pembinaan kerana terdapat 219 rumah yang terjejas dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya dan memerlukan pembaikan segera.

“Pelan tindakan bagi pembinaan semula telah saya serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam melalui nota khas kepada jemaah menteri. Saya berharap kerja pembinaan dapat dimulakan secepat mungkin selepas perbincangan dengan Menteri Besar Selangor dan Petronas,” jkatanya.

Nga menambah keputusan mengenai pembinaan semula kawasan tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI sangat prihatin terhadap pemulihan kawasan yang terjejas dan komited untuk membina semula kawasan itu dengan sebaik mungkin.

KPKT sebelum ini memaklumkan pelan tindakan bagi membaik pulih dan membina semula rumah-rumah yang terjejas telah disediakan oleh pasukan Petugas Khas dan telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Rabu.

Pemulihan dan pembinaan semula akan digerakkan sebaik sahaja pelan tersebut diluluskan.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan