AM > BERITA

JBPM Bakal Terima 30 Unit FRT Baharu Tahun Ini

11/04/2025 02:01 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menerima 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang baharu pada tahun ini sekali gus mempertingkatkan lagi kompetensi tindak balas terhadap panggilan kecemasan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata penerimaan jentera itu dilaksanakan melalui kaedah tukar beli dengan kerjasama syarikat CLW Special Automobile (M) Sdn Bhd (CLW Malaysia).

Menerusi kerjasama itu, CLW Malaysia akan mengambil 30 unit jentera FRT milik JBPM yang berusia lebih 20 tahun dianggarkan bernilai RM2.33 juta dan menggantikan dengan 30 unit jentera FRT yang baharu.

“CLW Malaysia juga bersetuju melaksanakan dan menyiapkan projek ini dalam tempoh enam bulan iaitu jauh lebih singkat berbanding proses perolehan baik pulih yang kebiasaan mengambil masa dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (Bagi Tender Bekalan) antara JBPM dan CLW Malaysia di sini hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya sedang meneliti beberapa lagi jentera milik pasukan itu yang berusia lebih 20 tahun untuk ditukarkan dengan jentera baharu.

Sementara itu, JBPM dalam kenyataan sempena majlis itu memaklumkan pelaksanaan projek perolehan rundingan terus 30 unit FRT sedia ada merupakan langkah tepat bagi memastikan khidmat kebombaan dan penyelamatan yang efektif dapat disalurkan kepada masyarakat.

Menurut kenyataan itu, pemerkasaan aset JBPM dengan kesiapsiagaan jentera FRT ini juga sudah pastinya mampu membantu meningkatkan pencapaian sasaran masa tindak balas yang telah ditetapkan jabatan iaitu di bawah 10 minit. 

Pada majlis itu, Nor Hisham menyerahkan Surat Setuju Terima tersebut kepada wakil syarikat yang juga Pengarah Perniagaan CLW Malaysia Khor Song Joo. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan