AM > BERITA

Lima Kementerian Berjaya Laksana Reformasi, Lonjak Produktiviti Perkhidmatan Awam

11/04/2025 03:53 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Lima kementerian telah berjaya melaksanakan lapan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), yang bertujuan menambah baik kecekapan kerajaan ke arah melonjakkan produktiviti dan daya saing, mempermudah urusan perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kementerian terbabit ialah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Kementerian Digital (KD).

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata reformasi bukan sekadar kata-kata, tetapi ia adalah mengenai komitmen tinggi, sikap tidak mudah mengalah, serta tidak putus asa melaksanakan penambahbaikan berterusan demi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

“Reformasi menuntut kerajinan luar biasa. Bukan sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

“Saya ucapkan tahniah kepada lima agensi yang telah mendapat sijil khas reformasi kerenah birokrasi melibatkan lapan projek RKB, yang ternyata berjaya mempercepat urusan rakyat,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook rasminya, di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata KPKM berjaya mempercepat masa semakan silang status nelayan meninggal dunia bagi pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), daripada tujuh hari kepada sehari.

Susulan itu, impak utama yang dicapai ialah mengelakkan pemberian bantuan kepada anggaran 300 nelayan yang telah meninggal dunia bernilai RM1.08 juta setahun, melalui pemadanan data secara automatik, serta penjimatan kos sebanyak RM420,000 setahun apabila semakan tidak lagi memerlukan caj fi rasmi daripada agensi luar.

“KPK pula telah menambah baik proses pembaharuan pendaftaran penanaman karas dengan memperkemas prosedur serta mengurangkan keperluan permohonan berulang dan hasilnya ialah penjimatan kos pematuhan dianggarkan sebanyak RM184,800 setahun, melibatkan lebih 1,800 penanam karas berdaftar.

“Sementara itu, KPDN juga telah melaksanakan dua penambahbaikan yang memberi kesan langsung kepada produktiviti peniaga dan pengguna, iaitu lesen jualan langsung dipercepat dari 90 hari kepada 21 hari dengan penjimatan kos mencecah RM126,000 setahun,” katanya.

Manakala penguatkuasaan tanda harga diperkukuh yang menyaksikan impak jualan mingguan peniaga meningkat 40 peratus serta penambahan pelanggan.

Bagi NRES pula, kementerian itu berjaya mempercepat proses kelulusan Lesen Mineral tanpa premis daripada 61 hari kepada tujuh hari, bagi menyokong kelancaran operasi industri dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

“Projek itu mengurangkan kos pematuhan sehingga 20 peratus kepada syarikat pedagang serta menjana hasil sekitar RM1.3 juta setahun kepada kerajaan, melalui lesen berkaitan.

“KD pula berjaya melaksana tiga projek RKB yang memberi impak langsung kepada kecekapan pentadbiran dan pematuhan data, iaitu proses siasatan ketirisan data dipercepat daripada lima hari kepada tiga hari dengan penjimatan RM1.32 setahun,” katanya.

Shamsul Azri berkata langkah lain, termasuk pematuhan pengawal data meningkat 105 peratus dengan penjimatan kos operasi RM100,000 setahun dan kos pendaftaran pengawal data dikurangkan melalui digitalisasi dengan penjimatan sehingga RM195,000 setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan