PENGKALAN HULU, 13 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan perbanyakan lagi program bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap sambutan perayaan pelbagai kaum termasuk golongan minoriti seperti Siam, demi menjamin keharmonian rakyat di negara ini.
Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata warisan budaya, merupakan jambatan yang dapat menyatukan rakyat sebagai satu negara tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan budaya.
“Memang, ini (tugas) kementerian kita…kita raikan kesemua sambutan, sebab itu (tanda) hormati kepelbagaian di negara ini.
“Selain itu, kita kena faham di negara ini memang banyak kumpulan etnik yang mempunyai kebudayaan mereka sendiri dan kita terima dan raikan,” katanya ditemui selepas merasmikan Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan 2025 di Kampung Tasek hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Siam Malaysia Sam Maark Suvanphet.
Aaron berkata apabila rakyat memahami kepelbagaian yang terdapat dalam negara, perkara itu akan membentuk kefahaman lebih mendalam seterusnya membentuk negara yang bersatu padu.
Beliau berkata Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan Madani 2025, telah mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi melaksanakan usaha memelihara budaya dan bahasa kaum minoriti Siam di Malaysia.
Aaron berkata langkah itu penting bukan sahaja bagi memperkukuh perpaduan dan pembinaan negara bangsa, tetapi juga memastikan semua kaum di Malaysia, termasuk minoriti, mendapat pengiktirafan yang sewajarnya terhadap sumbangan mereka dalam membentuk negara ini.
Pesta Songkran yang berlangsung selama tiga hari sejak 11 April, diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan tradisional Songkran, pameran budaya dan makanan tradisional.
Turut diadakan petunjukan kebudayaan (tarian, seni dan muzik), pertandingan permainan tradisional, aktiviti mandi air dan aktiviti sosial dan kesenian bersama komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial