GEORGE TOWN, 11 April (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menggerakkan 80 lori tangki dan 182 tangki air di bawah Pelan Bantuan Bekalan Air (WRP) semasa Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) yang bermula pada 25 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata pelaksanaan pelan bantuan itu adalah sebahagian usaha bersepadu untuk membantu 341,708 pengguna yang terjejas di lima daerah di Pulau Pinang.
“WRP akan dilaksanakan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 10 malam, 25 April hingga 10 malam keesokannya, iaitu sebanyak 80 lori tangki dan 182 tangki air akan digerakkan sepenuhnya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya dalam tempoh 24 jam pertama.
“Seterusnya, fasa dua yang bermula pukul 10 pagi pada 26 April hingga 10 malam keesokannya, sebanyak 80 lori tangki dan 125 tangki air akan digerakkan di kawasan SPS dan Barat Daya selepas 40 peratus pemulihan bekalan air dicapai.
“Bagi fasa tiga pula bermula pada 10 malam, 27 April hingga 10 pagi keesokannya, sejumlah 80 lori tangki dan 120 tangki air akan digerakkan ke kawasan hujung paip agihan (EoL) dan kawasan perumahan di tanah tinggi selepas 88 peratus pemulihan bekalan air dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lima tangki air akan dihentikan selepas 48 jam apabila bekalan air dipulihkan untuk majoriti pengguna di kawasan SPS serta Barat Daya, dan WRP hanya akan ditamatkan secara berperingkat selepas 95 peratus pemulihan bekalan air dicapai.
Mengulas lanjut, beliau berkata bekalan air dijangka pulih untuk pengguna yang terjejas di daerah Seberang Perai Utara (SPU), SPT dan Timur Laut dalam tempoh 24 jam manakala majoriti pengguna yang terjejas di kawasan SPS dan Barat Daya dalam tempoh 48 jam.
Pathmanathan berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya untuk semua pengguna yang terjejas termasuk pengguna di kawasan hujung paip agihan dan kawasan perumahan di tanah tinggi di SPS dan Barat Daya dalam tempoh 60 jam.
Pengguna yang terkesan dinasihatkan untuk merancang lebih awal dengan menyimpan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan selama 24 jam, 48 jam atau 60 jam, bergantung pada jangkaan tempoh SWSI di kawasan masing-masing.
Untuk maklumat penuh mengenai lokasi tangki-tangki air semasa SWSI April 2025, orang ramai boleh melayari laman Facebook PBAPP atau laman web www.pba.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial