SHAH ALAM, 11 April (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang akan memastikan tanah yang diwartakan sebagai tapak pembangunan Masjid Dengkil dikosongkan dalam tempoh sebulan.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa semua tanah di bawah kelolaan JAIS perlu bersih daripada sebarang pencerobohan.
Beliau berkata susulan itu, semua tanah di bawah kelolaan agensi agama negeri itu juga akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang dengan kerjasama PDT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk memastikan tiada kejadian pencerobohan berlaku.
“Orang awam atau pihak yang mengetahui sebarang bentuk pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan JAIS juga diminta terus menyalurkan maklumat kepada JAIS atau menghubungi pihak berkuasa negeri, pejabat agama Islam daerah di samping talian hotline penguat kuasa JAIS 1-800-88-2424 untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan isu pencerobohan tanah yang diwartakan sebagai tapak Masjid Dengkil diselesaikan secara aman berikutan pihak yang membina rumah ibadat secara tidak sah di kawasan terbabit menyatakan kesediaan untuk berundur dan mengosongkan kawasan terbabit.
Merujuk kepada isu berkenaan, Mohd Shahzihan berkata PDT Sepang telah memberikan penempatan baharu bagi aktiviti pihak berkenaan dengan berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL).
“JAIS ingin memaklumkan bahawa pihak yang berada di tanah berkenaan adalah individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.
“Pada tahun 2007 kerajaan negeri mengarahkan pengosongan tanah oleh pihak berkenaan bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu atas arahan pengosongan tapak itu,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata kerajaan negeri telah mewartakan tanah dengan keluasan empat hektar pada 2011 bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian daripada tanah berkenaan adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan pihak terbabit tanpa mengeluarkan pihak yang menduduki tanah.
Beliau berkata sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah itu bagi tujuan pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah berkenaan adalah kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan atau premis, namun pada tahun lepas pihaknya mengesan perkara sebaliknya.
“Sehubungan itu, JAIS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 Sept 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata dengan tindakan itu, JAIS berpandangan bahawa laporan polis tidak perlu kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pembinaan bangunan atau premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS.
"Namun JAIS akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat JAIS,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial