KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kumpulan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan rakan strategik menyalurkan RM2 juta sebagai bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Datuk Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan berkenaan telah disampaikan kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MBI di Shah Alam semalam.
Bantuan yang disalurkan melalui Tabung Selangor Prihatin itu bertujuan untuk menangani keperluan mendesak serta membantu keluarga yang terkesan akibat insiden berkenaan, khususnya mereka yang kehilangan tempat tinggal.
“Ini bukan sekadar bantuan kewangan, ia adalah mesej perpaduan. MBI berdiri teguh dalam solidariti bersama mangsa tragedi Putra Heights,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara rakan strategik MBI yang turut komited menyumbang termasuk Oriental Interest Bhd (Myra Garden), Astrum Shah Alam Sdn Bhd, Murni Gemilang Sdn Bhd, MGB Bhd, Jejak Rimbun Sdn Bhd, Trans Loyal Development Sdn Bhd, Gagasan Nadi Cergas Bhd, Impeccable Vintage Properties, Mirago Resources Sdn Bhd, Sg. Rambai Holdings Sdn Bhd, Midas Dragon Sdn Bhd, East Rock Sdn Bhd dan Laurelcap Sdn Bhd.
Bagi memperluaskan usaha pemulihan, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan ke Tabung Selangor Prihatin melalui akaun CIMB bernombor 8604747531 atas nama Bendahari Negeri Selangor, dengan nota rujukan: Putra Heights.
Kebakaran saluran gas yang berlaku pada 8.10 pagi, 1 April lalu itu menyaksikan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial