KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Bakal jemaah haji musim 1446H/2025M diingatkan supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah haji serta menjaga adab dan disiplin sepanjang berada di Tanah Suci.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata panggilan haji merupakan jemputan istimewa daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih, justeru perlu disambut dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.
Menurut beliau, kecenderungan sesetengah jemaah untuk kerap memuat naik kandungan di media sosial, termasuk berswafoto di hadapan Kaabah dan melakukan siaran langsung menerusi platform seperti TikTok, dikhuatiri boleh mengganggu maqasid atau tujuan sebenar ibadah tersebut.
“Kadangkala ia turut mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah. Nasihat saya kepada semua bakal Duyufurrahman tahun ini ialah agar memfokuskan sepenuhnya kepada pengagungan Allah SWT, bukannya mengagungkan diri sendiri demi populariti melalui jumlah 'likes' atau 'viewers' di media sosial,” katanya kepada Bernama.
Zulkifli menegaskan bahawa maqasid haji adalah keikhlasan beribadah kerana Allah SWT, malah Rasulullah SAW sendiri berdoa agar ibadah hajinya tidak terpalit dengan riak atau sum‘ah (keinginan untuk mendapat pujian).
Sehubungan itu, beliau menyarankan bakal jemaah haji agar ‘berpuasa’ daripada mengemas kini media sosial dan memanfaatkan sepenuhnya masa di Tanah Suci untuk memperbanyakkan amalan seperti solat, berdoa dan berzikir dalam usaha meraih kemanisan ibadah haji.
Selain persiapan rohani, Zulkifli turut mengingatkan jemaah agar melakukan persiapan fizikal yang mencukupi sebelum berangkat kerana ibadah haji memerlukan banyak pergerakan termasuk dari hotel ke masjid, semasa tawaf dan sa’i, serta ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang menuntut kekuatan tubuh badan dan ketahanan fizikal.
Sebagai persediaan terakhir, beliau menggalakkan jemaah menghadiri Kursus Perdana Haji anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di 22 lokasi seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei ini.
“Kursus ini merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan merasai simulasi sebenar ibadah di Tanah Suci seperti tawaf, sa’i, melontar serta pemakaian ihram bagi jemaah lelaki.
“Dalam kursus ini juga akan dikongsikan tip-tip kesihatan, dan para jemaah berpeluang bertanya secara langsung kepada pegawai TH serta Pembimbing Ibadat Haji yang terlibat sepanjang program berlangsung,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim ini dijadualkan pada 29 April, manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial