AM > BERITA

Salah Laku Seksual Termasuk Gambar Lucah AI, Sekolah Swasta Perlu Ada SOP

12/04/2025 06:30 PM

KULAI, 12 April (Bernama) -- Sekolah swasta perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) lebih baik dalam mendepani situasi salah laku seksual, termasuk aduan kes gambar lucah yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pihak berkenaan boleh menggunakan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual seperti yang digunakan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai rujukan.

Mengulas mengenai insiden penyebaran gambar lucah pelajar wanita yang disunting dan dijual di media sosial di sebuah sekolah menengah swasta di sini baru-baru ini, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata beliau difahamkan pentadbiran sekolah berkenaan telah dimaklumkan berhubung isu itu sejak tahun lepas.

“Mangsa memaklumkan kes seperti ini bukan pertama kali berlaku. Sebaliknya ada insiden serupa telah dilaporkan kepada pihak sekolah sejak tahun lepas, namun tiada tindakan berkesan diambil bagi menghalangnya daripada terus berlaku.

“Perkara ini hanya menjadi tular selepas seorang mangsa membuat laporan polis secara peribadi. Setakat ini, mangsa-mangsa yang dikenal pasti adalah 38 orang dan ada antara mereka yang menghubungi kami berumur 13 tahun. Jadi, ini menunjukkan betapa serius isu ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Johor di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah enam daripada 38 mangsa yang dikenal pasti gambar mereka disunting menggunakan AI untuk dijadikan bahan lucah sebelum dijual di media sosial.

Teo berkata KPM pada November 2023 mengeluarkan satu Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) mengenai kes salah laku seksual, dan menegaskan pihak pengetua atau guru besar yang mengetahui mengenai kejadian salah laku seksual perlu mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata meskipun SPI yang diperbaharui sebenarnya tidak terpakai kepada sekolah menengah persendirian Cina, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, ia perlu digunakan pada zaman digital apabila gambar serta video AI dan deepfake kerap berlaku ketika ini.

“Jadi, saya rasa dan saya percaya semua institusi pendidikan tak kiralah swasta atau antarabangsa perlu ada SOP yang ketat untuk garis panduan mereka, bagaimana untuk menangani apabila mereka menerima aduan seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar memaklumkan pihaknya menerima 22 laporan polis berhubung kejadian itu setakat ini hari, dengan suspek iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan reman sehingga Selasa depan.

Kes itu terbongkar selepas seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membuat laporan polis setelah mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial dan suspek dipercayai menjual gambar yang disunting berkenaan dengan harga serendah RM2 sekeping.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan