PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di semua hospital bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas dakwaan berhubung insiden bayi kembar yang kononnya dilarikan oleh individu menyamar sebagai doktor, beliau menegaskan bahawa KKM tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dan memandang serius perkara tersebut.
“Kita akan terus mempertingkatkan SOP dan kawalan keselamatan. Kita tidak ambil ringan isu ini dan ia merupakan isyarat penting untuk kita terus memperbaiki keberkesanan sistem kawalan dan penyeliaan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia (WOPAD) sempena inisiatif Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Semalam, pihak pengurusan Hospital Kuala Lipis membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang individu menyamar sebagai doktor dan didakwa melarikan bayi kembar yang kononnya dirawat selama sembilan bulan di hospital berkenaan.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam kenyataan memaklumkan hasil siasatan mendapati tiada rekod menunjukkan wujudnya bayi kembar seperti yang didakwa menerima rawatan selama sembilan bulan di Wad Kanak-Kanak hospital tersebut. Malah, ibu kepada bayi berkenaan kali terakhir menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis adalah pada Julai 2024.
Berhubung dakwaan terdapat individu menggunakan nama Dr Amalina Husna yang dikatakan merawat bayi itu, siasatan mendapati tiada rekod kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis.
Sebelum ini, satu hantaran di laman Facebook bertajuk “Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis” tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata pihaknya bercadang memperluaskan insiatif Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) kepada penjawat awam di negeri-negeri.
Katanya, pelaksanaan PSS di Putrajaya setakat ini menunjukkan sambutan memberangsangkan dan telah melibatkan penyertaan lebih 60,000 penjawat awam daripada 25 kementerian dan agensi kerajaan.
“Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi mendapatkan data asas berkaitan status kesihatan penjawat awam di peringkat negeri.
"Kita mahu melaksanakan inisiatif penjawat awam sihat sejahtera secara menyeluruh dan akan memulakannya sebaik sahaja kita memperoleh data daripada kerajaan negeri,” katanya.
PSS dilaksanakan bertujuan melahirkan penjawat awam yang sihat dan produktif demi menyumbang kepada pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial