AM > BERITA

Johor Sasar Bina 80,000 Unit RMMJ Sehingga 2029

13/04/2025 03:11 PM

KLUANG, 13 April (Bernama) -- Kerajaan Johor menyasarkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) sehingga tahun 2029 bagi membantu penduduk di negeri berkenaan memiliki rumah yang lebih selesa.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sehingga kini 16,845 unit rumah berjaya disiapkan dan kira-kira 14,000 unit lagi akan disiapkan menjelang tahun 2027.

Beliau berkata tambahan 50,000 unit lagi akan dibina sehingga tahun 2029, sekali gus menjadikan keseluruhan 80,000 unit RMMJ dibina serta dimiliki rakyat di negeri itu.

“Kita sudah berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan pejabat tanah di negeri ini untuk membangunkan tanah kerajaan yang tidak digunakan bagi pembinaan RMMJ, yang harganya sekitar RM80,000 hingga RM300,000.

“Untuk pembinaan RMMJ kali ini, kita akan mulakannya di Simpang Renggam dan Kulai. Ia sebagai projek perintis, sekali gus menjadi contoh untuk pelaksanaan di tempat lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran Program Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) RMMJ Daerah Kluang di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata penduduk Johor yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan slip gaji, mereka juga boleh membuat pinjaman bagi pembelian RMMJ.

Beliau berkata ia dilaksanakan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dengan pendapatan yang diterima melalui perniagaan dijalankan termasuk secara kecil-kecilan mahupun bekerja sendiri, yang perlu dimasukkan ke akaun bank mereka.

“Akaun bank berkenaan boleh dicetak setiap bulan dan dijadikan penyata kewangan, kemudiannya kerajaan akan menjadi penjamin sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

“Untuk makluman, sebanyak RM1 bilion diluluskan untuk penduduk negeri ini bagi permohonan pinjaman pembelian rumah RMMJ, dan ia dijangka meningkat apabila pertambahan RMMJ sehingga 2029,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan