TAIPING, 13 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan siasatan secara telus dilakukan susulan seorang pelajar lelaki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor yang meninggal dunia akibat lemas pada November tahun lepas.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian di bawah Unit Integriti melaksanakan siasatan dalaman terhadap kes berkenaan, selain menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
“Ini adalah satu insiden yang saya fikir kita ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan siasatan telus dan kita telah menyerahkan kes ini kepada pihak autoriti untuk siasatan lanjut.
“Saya memberi jaminan kepada keluarga (mangsa) dan sesiapa sahaja yang terkesan dengan insiden ini disiasat dengan penuh integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Gerakan Massa #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata hal-hal berkaitan kebajikan mangsa seperti tuntutan insurans turut diberi keutamaan kerana ia adalah tanggungjawab di bawah KPM.
“Di samping itu, kita memberi sokongan kepada keluarga mangsa bagi memastikan ia benar-benar dijaga dan diambil perhatian sepenuhnya,” katanya.
Pada 6 April lepas, keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful yang meninggal dunia akibat lemas mendakwa terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pelajar itu.
Allahyarham Muhammad Zulfan, 16, adalah pelajar tingkatan empat dan atlet bola sepak bawah 16 tahun di sekolah sukan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial