KOTA BHARU, 14 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan 4,069 kes membabitkan penyakit glaukoma pada tahun lepas, kata Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 3,767 kes dilaporkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, manakala 302 kes pula di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.
“JKNK ketika ini mempunyai dua doktor pakar glaukoma yang perlu mengendalikan pesakit di HRPZ II dan HSIP.
“Pada tahun lepas, lebih 4,000 pesakit menerima rawatan di klinik glaukoma dan 101 pembedahan penyakit itu berjaya dijalankan di hospital berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia Peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 2025 di Kompleks Belia dan Sukan, Panji di sini hari ini.
Dr Zaini berkata beliau berharap rakyat di Kelantan mempunyai kesedaran untuk mengesan penyakit ini sekiranya mata berada dalam keadaan tidak selesa atau sakit, sekali gus dapat mencegahnya daripada menjadi buta.
“Pemeriksaan mata secara berkala adalah langkah pertama yang sangat penting dalam pencegahan dan pengesanan awal penyakit ini.
“Kita juga perlu memastikan masyarakat terus mendapat akses kepada maklumat yang tepat mengenai simptom-simptom glaukoma dan rawatannya,” katanya.
Sementara itu, pesakit glaukoma yang juga seorang anggota bomba Saiful Bahari Abdul Wahab, 53, berkata beliau mula menghidap penyakit itu pada tahun 2019 selepas mengalami kesakitan pada mata kanan.
“Sepanjang tempoh itu, saya menjalani beberapa rawatan sehinggalah mata sebelah kanan saya dibedah pada 1 Jan lepas bagi mengelakkan ia daripada buta.
“Saya harap rakyat di Kelantan terutama berusia 40 tahun ke atas supaya sentiasa membuat pemeriksaan mata untuk memastikan keadaan mata kita sentiasa berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial