KUCHING, 14 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menyasarkan penyertaan seramai 7,000 peserta bagi program NADIpreneur, inisiatif di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus penyertaan daripada kalangan usahawan wanita, menerusi pelaksanaan program NADI EmpowHER.
“Sehingga 31 Mac lepas, seramai 3,390 wanita daripada keseluruhan 4,000 usahawan telah menerima latihan, dan kami berharap menerusi inisiatif ini, lebih ramai usahawan dalam talian dapat dilatih untuk menggunakan platform e-dagang seperti TikTok dan Lazada bagi meluaskan perniagaan mereka.
“Kita juga akan melatih dan membimbing usahawan mengenai teknik pemasaran berkesan seperti penyediaan pembungkusan produk yang sesuai dan kemahiran perakaunan. Kita mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri serta wakil rakyat untuk mempromosikan usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat NADI Padungan dan Pending di sini, hari ini.
Program NADI EmpowHER mula diperkenalkan dan dilaksanakan sejak Januari lepas sebagai salah satu inisiatif utama di bawah NADI x Keusahawanan, yang bertujuan menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Sementara itu, Teo berkata kesemua 156 NADI yang dibangunkan di seluruh Sarawak telah beroperasi sepenuhnya sejak Oktober tahun lepas.
Menurutnya, inisiatif NADI juga kini meliputi kesemua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
“Sebelum kita mulakan inisiatif 1 DUN 1 NADI, kita sudah bangunkan 133 NADI, namun kita mendapati ada 23 kawasan DUN di Sarawak tidak mempunyai NADI, jadi sekarang semua sudah siap dan beroperasi sejak hujung tahun lepas.
“Selain NADIpreneur dan kemudahan internet, pusat NADI turut menawarkan perkhidmatan kesihatan asas seperti saringan tekanan darah dan paras gula dalam darah,” katanya.
Beliau menambah penubuhan NADI di negeri ini dapat merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi rakyat, sejajar dengan objektif utama NADI sebagai pusat capaian internet kolektif, pemerkasaan komuniti, serta penyebaran maklumat yang tepat dan terkini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial