AM > BERITA

PM Anwar Gesa UPPP Selesai Segera Isu Tanah Runtuh, Jalan Rosak Di Kampung Tiram

14/04/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan (UPPP), agensi persekutuan dan negeri untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu tanah runtuh dan kerosakan jalan yang serius di Kampung Tiram, Indera Mahkota, Pahang.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata masalah itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya berharap agar tindakan proaktif dan berkesan dapat diambil dengan kadar segera,” kata Anwar.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi mengadakan tinjauan di lokasi tersebut dan mendapatkan maklumat langsung daripada UPPP, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang (UPPP JPS).

Ahmad Farhan berkata ia melibatkan laluan utama yang digunakan penduduk setiap hari, selain lebih membimbangkan apabila sudah beberapa kemalangan berlaku di kawasan itu akibat jalan rosak.

“Alhamdulillah, pihak UPPP JPS telah mengambil maklum dan memberi komitmen bahawa pembinaan jalan sementara akan dilaksanakan segera dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

“Ini bagi memastikan laluan dapat digunakan dengan lebih selamat dalam masa terdekat,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Ahmad Farhan berkata kerja pembaikan akan dimulakan selepas itu dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan, dengan beliau akan terus memantau perkembangan terkini agar keselamatan dan keselesaan penduduk diutamakan.

Turut bersama dalam tinjauan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Chan Chun Kuang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan