AM > BERITA

Presiden China Xi Jinping Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Negara 

15/04/2025 07:29 PM

SEPANG, 15 April (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Pesawat khas yang membawa presiden mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 petang.

Turut hadir menyambut ketibaan dan delegasinya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Sejurus tiba, Xi memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Nafis Norshid. 

Persembahan kebudayaan yang menampilkan gabungan irama gendang tradisional Melayu, Cina, dan India oleh Akademi Arjunasukma dari Gombak turut dipersembahkan. 

Selain itu, kumpulan pancaragam yang terdiri 32 ahli dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang turut mempersembahkan lagu "Lenggang Kangkung". 

Wisma Putra memaklumkan sepanjang lawatan berkenaan, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara, diikuti kunjungan menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

Sultan Ibrahim juga berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara. 

Xi yang diiringi oleh menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi.

Lawatan itu sebahagian daripada siri lawatan negara pertama Xi pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Kali terakhir Presiden China itu mengadakan lawatan negara ke Malaysia ialah pada 2013, menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara yang telah meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lepas. 

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

Selaku Pengerusi ASEAN dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China.

Menurut Kementerian Luar, usaha berkenaan akan diteruskan melalui dialog, saling mempercayai dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan