AM > BERITA

Peranan Perkhidmatan Kesihatan Dan Perubatan Berjaya Pupuk Perpaduan - Sultan Nazrin

15/04/2025 11:08 AM

IPOH, 15 April (Bernama) -- Perkhidmatan kesihatan dan perubatan memenuhi peranan tersirat yang tidak pernah didendang, iaitu peranan yang berjaya memupuk perpaduan, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah peranan itu berlaku secara semula jadi dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum, agama, budaya, bahasa, serta berbeza status sosial dan ekonomi.  

“Belum pernah terdengar doktor di hospital yang enggan merawat pesakit kerana faktor berlainan agama, kaum atau status sosial, dan tidak pernah terdengar pesakit yang mempertikaikan darah yang mahu diserapkan ke dalam tubuhnya, sama ada diperoleh daripada darah penderma beragama Islam, Hindu, Kristian, Buddha atau si miskin.  

“Apabila berlaku kematian di dalam wad hospital, kesemua staf hospital, demikian juga rakan-rakan pesakit di dalam wad berkaitan, sama-sama berasa hiba, malah ada yang turut menitiskan air mata, meski pesakit yang meninggal dunia memiliki latar belakang yang berlainan, malah terlalu baru dikenali,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah tanpa disedari, di dalam premis hospital pesakit dan keluarga pesakit menginsafi sifat lemah manusia, serta keinsafan bahawa nyawa bukan miliknya.  

Titah baginda ketika pesakit bersabung nyawa, pesakit dan keluarga memperlihatkan sifat seorang hamba, mendorong mereka untuk mendampingi diri lebih rapat dengan tuhan, berdoa dengan lebih khusyuk mohon agar disembuhkan penyakit atau diringankan tanggungan, atau dirahmati roh apabila terpisah dengan jasad.

“Sesungguhnya wad-wad di hospital hendaklah dijadikan bilik darjah, mengajar setiap kita, raja dan rakyat, presiden dan menteri, imam dan paderi, hakim dan peguam, pensyarah dan guru, pegawai polis dan tentera, juruterbang dan pemandu teksi, petani dan nelayan, akan erti ketuhanan, erti seorang hamba, erti keinsanan dan kemanusiaan, erti ihsan dan empati dan erti perpaduan yang sejati lagi semula jadi,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah langkah-langkah aktif untuk mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam strategi kerja perlu dirintis bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mempercepat proses dan mencetuskan inovasi.  

“Mengadaptasi AI bukan lagi pilihan, tetapi satu kewajipan – satu kemestian. AI bukan sekadar alat, malah berperanan menjadi kuasa transformatif yang mempengaruhi kemajuan sosioekonomi, industri, pemikiran dan gaya hidup.  

“Kemajuan transformasi terutamanya dalam bidang Generatif AI akan mengubah industri dan tugas dalam semua sektor.

Sektor pekerjaan yang paling pesat berkembang menjelang 2030, cenderung didorong oleh perkembangan teknologi, seperti kemajuan dalam AI dan robotik serta peningkatan akses digital,” titah Sultan Nazrin.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan