AM > BERITA

SMC Raih Kemenangan Empat Kali Berturut-turut Di Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia 2025

16/04/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) sekali lagi diiktiraf sebagai Hospital Terbaik (Malaysia) pada Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia 2025.

Anugerah ini menandakan pengiktirafan buat tahun keempat berturut-turut kepada SMC, sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia yang kini menempatkan 28 Pusat Kecemerlangan dan lebih daripada 60 bidang kepakaran perubatan.

SMC yang merupakan hospital utama di bawah Sunway Healthcare Group (SHG) dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu adalah bukti komitmen teguh pihaknya terhadap inovasi, kecemerlangan dalam penyampaian penjagaan kesihatan serta sumbangan besar kepada masyarakat.

“Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia merupakan program berprestij bagi mengiktiraf hospital, klinik dan organisasi penjagaan kesihatan cemerlang di seluruh Asia yang menunjukkan inovasi luar biasa, menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan serta memberikan impak besar kepada komuniti,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan meraih anugerah berkenaan empat tahun berturut-turut, sambil menyatakan ia adalah bukti dedikasi dan kesungguhan warga kerja SMC yang sentiasa memberikan penjagaan pesakit yang terbaik.

“Diiktiraf dalam platform berprestij sebegini bukan sahaja mencerminkan pencapaian kami, malah mengukuhkan lagi komitmen berterusan dalam mempertingkatkan standard penjagaan kesihatan.

“Ketika kami meraikan pencapaian ini, kami tetap fokus kepada misi untuk berinovasi, memberi inspirasi dan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada komuniti di Asia dan seluruh dunia,” katanya.

Pengumuman ini hadir selepas pelbagai pengiktirafan terkini diraih SMC, termasuk menerima penarafan teratas di Malaysia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia  2025 oleh Newsweek dan disenaraikan antara 250 Hospital Terbaik di peringkat global untuk tahun kedua berturut-turut.

Hospital itu turut tersenarai dalam Hospital Swasta Terbaik Asia 2025 oleh Newsweek, meraih kedudukan tiga terbaik dalam bidang oftalmologi dan 10 terbaik dalam ortopedik, selain tersenarai dalam Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik Newsweek untuk dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

Ditubuhkan pada 1999, SMC merupakan hospital yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara memperkenalkan AiBLE™ Spine Surgical Suite, teknologi berpandukan robot terkini yang direka untuk merevolusikan pembedahan tulang belakang dengan ketepatan dan kecekapan tinggi.

SMC juga mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records untuk pakar bedah pertama melakukan pembedahan penggantian pinggul keseluruhan dengan bantuan robotik dan juga paling banyak menjalankan pembedahan penggantian pinggul dan lutut menggunakan bantuan robotik dengan 1,000 prosedur.

Selain itu, SMC  juga merupakan hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama iaitu Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan