AM > BERITA

Program Pentarama X Kelab Malaysiaku Perkasa Semangat Patriotik Pelajar

15/04/2025 04:14 PM

KANGAR, 15 April (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) Perlis komited memperkasakan semangat patriotik dalam kalangan pelajar menerusi penganjuran Program Pentarama X Kelab Malaysiaku yang diadakan di empat sekolah menengah di negeri ini, kata Pengarahnya Mazli Hamdan.

Beliau berkata program sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 itu menggunakan pendekatan hiburan bermaklumat bagi menerapkan nilai patriotisme, memberi kefahaman dasar kerajaan serta menyampaikan maklumat semasa kepada peserta.

“Program ini diselitkan dengan persembahan nyanyian, kuiz perpaduan dan keselamatan siber oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menarik minat pelajar,” katanya kepada pemberita sempena penganjuran program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini hari ini.

Mazli berkata Program Pentarama X Kelab Malaysiaku telah dimulakan secara rintis tahun lepas di 38 sekolah dan tahun ini diperluaskan ke 88 sekolah menengah di seluruh negara melibatkan 90,000 pelajar dan guru.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling berkata penganjuran program sebegitu wajar diteruskan di sekolah-sekolah kerana ia bukan sahaja memberikan pendedahan tentang keselamatan Internet malah menyemai nilai-nilai Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

“Ia satu platform yang sangat baik untuk pelajar mendapat maklumat dan dalam masa sama menghayati nilai perpaduan menerusi hiburan yang dekat dengan jiwa mereka,” katanya.

Pengetua SMK Perlis Oui Siew Aim berkata program itu dilihat mempunyai pendekatan yang efektif untuk menarik minat pelajar dengan gabungan pelbagai elemen persembahan serta aktiviti interaktif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan