AM > BERITA

Kerjasama MCKL-mystudy Buka Laluan Lebih Luas Kepada Pendidikan Tinggi Di Sepanyol

16/04/2025 11:43 AM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Methodist College Kuala Lumpur (MCKL) dengan kerjasama mystudy secara rasmi melancarkan "Study in Spain Pathway", satu inisiatif penting yang meluaskan peluang pendidikan antarabangsa untuk pelajar Malaysia di Sepanyol.

MCKL dalam kenyataan hari ini berkata perkongsian itu dirasmikan semasa majlis menandatangani perjanjian baru-baru ini yang disaksikan oleh Duta Besar Sepanyol ke Malaysia José Luis Pardo, di sini. 

Ketua Pegawai Ekskutif MCKL Dr Chua Ping Yong dalam kenyataan sama berkata perkongsian itu mengetengahkan komitmen kolej untuk menyediakan laluan pendidikan yang pelbagai dan meluas.

"Kami percaya terhadap usaha memperkasakan pelajar untuk meneruskan aspirasi akademik mereka pada skala global. Kerjasama dengan mystudy ini membuka peluang besar, membolehkan mereka mengalami landskap akademik dan budaya Sepanyol yang luas," katanya.

Mystudy ialah sebuah organisasi di Malaysia yang aktif menyokong pelajar dalam mengikuti pengajian bahasa dan pengajian tinggi di Sepanyol.

Sementara itu Pengarah mystudy CK Chiau berkata perkongsian itu berjaya merapatkan jurang antara pelajar Malaysia dan universiti peringkat tinggi di Sepanyol.

"Mystudy sangat teruja untuk bekerjasama dengan MCKL dalam membuka peluang pendidikan luar biasa yang ditawarkan oleh Sepanyol, dan kami tetap berdedikasi untuk memudahkan pengalaman yang lancar dan bermanfaat bagi pelajar yang ingin belajar di Sepanyol," katanya.

Pardo berkata inisiatif itu mengukuhkan hubungan pendidikan antara Sepanyol dan Malaysia di samping memupuk pertukaran budaya dan kerjasama akademik.

"Kami gembira melihat MCKL dan mystudy membuka jalan kepada pelajar Malaysia untuk mengakses peluang pendidikan cemerlang Sepanyol," katanya.

Manfaat inisiatif MCKL-mystudy Spain Pathway ini termasuk dalam aspek pembangunan kecekapan bahasa, pemahaman mendalam mengenai budaya, bimbingan akademik dan pilihan pendidikan yang kos efektif.

Menerusi laluan ini para pelajar boleh mengakses pelbagai kursus sarjana muda dan pascasiswazah, termasuk seni bina dan kejuruteraan, perniagaan dan ekonomi, kemanusiaan dan sains sosial, sains dan teknologi, serta bahasa dan pengajian budaya.

Pelajar yang berminat dinasihatkan untuk bermula dengan mendaftar dalam program Pra-Universiti MCKL untuk menerima persediaan akademik yang komprehensif, dan mystudy akan membantu mereka dengan permohonan kemasukan universiti, keperluan kemahiran bahasa dan prosedur visa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan