AM > BERITA

Kerajaan Terengganu Diseru Lebih Proaktif Tangani Jenayah Siber

15/04/2025 06:10 PM

KUALA TERENGGANU, 15 April (Bernama) -- Kerajaan negeri diseru mengambil langkah lebih proaktif dan menyeluruh dalam mengatasi masalah jenayah siber yang semakin meruncing di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang Zuraida Md Noor berkata antara yang boleh dilakukan kerajaan negeri ialah memperluas program kesedaran keselamatan siber ke segenap lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar dan dalam kalangan golongan berisiko seperti warga emas serta pelajar.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber telah direkodkan sepanjang tahun 2024, menunjukkan peningkatan 93 kes berbanding tahun sebelumnya. Nilai kerugian yang direkodkan juga amat membimbangkan iaitu lebih RM42 juta. Ia merupakan satu angka yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Zuraida berkata jenayah siber yang melibatkan pelbagai bentuk penipuan seperti pembelian dalam talian dan pelaburan palsu, boleh ditangani kerajaan negeri dengan melibatkan pihak berkuasa tempatan, masjid dan surau, sebagai menyebarkan maklumat serta kempen celik digital.

Beliau berkata kerajaan negeri juga boleh menyediakan geran kecil atau sokongan logistik kepada pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti yang aktif, dalam mendidik masyarakat mengenai keselamatan siber. 

Sementara itu Adun Batu Rakit Mohd Shafizi Ismail memohon kerajaan negeri memberi perhatian serius akan isu hakisan pantai di kawasannya, yang semakin serius dan berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata masalah hakisan pantai yang berlaku setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL), kini bukan sahaja telah menenggelamkan tanah rakyat, malah turut “menelan” jalan antara Telipot ke Batu Rakit dekat Kuala Nerus.

“Soalan saya kepada kerajaan, apakah projek pemecah ombak yang sedang dibina sekarang dan akan siap sepenuhnya pada 2027, akan menjamin penyelesaian isu hakisan ini?,” katanya.

Beliau juga memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai projek pembaikan jalan terhakis yang telah diluluskan sebelum ini, memandangkan kini telah memasuki bulan April serta MTL telah berakhir, namun projek tersebut belum dimulakan. 

Selain itu Mohd Shafizi juga memohon kerajaan negeri segera meluluskan permohonan bantuan kepada mangsa hakisan pantai, memandangkan pihaknya telah pun menyerahkan senarai nama mereka yang berkenaan.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan