AM > BERITA

Kemudahan Motorhome Jadi Pencetus Perubahan Perkhidmatan Berita, Produk Bernama - Fahmi

15/04/2025 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kemudahan kenderaan rekreasi atau motorhome milik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dilengkapi studio mini bakal memacu perubahan besar kepada penyampaian perkhidmatan dan penghasilan kandungan agensi berkenaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kenderaan itu bukan sahaja mampu menjadi unit berita bergerak malah berpotensi dijadikan studio rakaman audio siar mudah alih yang boleh digunakan secara dinamik oleh Bernama.

Beliau berkata kemudahan itu antara projek Bernama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang mampu memperkukuh operasi liputan luar dan penghasilan berita secara lebih fleksibel.

“Saya lihat ini boleh menjadi antara pencetus perubahan untuk Bernama bukan hanya digunakan untuk liputan di lapangan sebagai mobile base tetapi juga dari segi produksi.

“Dengan kemudahan ini, ia boleh dijadikan sebagai studio audio siar mudah alih. Jadi, ia mempunyai banyak potensi. Saya harap menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, kita dapat mempamerkannya di Putrajaya,” katanya kepada media di Wisma Bernama hari ini.

Terdahulu, Fahmi berkesempatan meninjau kenderaan itu di pekarangan Wisma Bernama. 

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif agensi berita itu Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

Bernama menerima motorhome itu semalam sebagai medium baharu penyiaran meliputi kandungan berita langsung dari lokasi, program Bernama TV dan Bernama Radio serta acara-acara besar.

Mampu bersiaran secara langsung dengan produksi berbilang kamera, kenderaan itu juga boleh beroperasi di kawasan kritikal tanpa bekalan elektrik seperti liputan bencana dan lokasi terpencil.

Menggunakan enam kamera serta peralatan suntingan moden, motorhome ini mampu menghasilkan kandungan bermutu tinggi bukan sahaja untuk pelanggan malah memberi nilai tambah kepada laporan berita secara langsung dari lokasi bagi siaran di platform media sosial dan penyiaran Bernama.

Motorhome itu, yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta dan mampu memuatkan enam petugas pada satu-satu masa, antara lain mempunyai studio mini, ruang kerja serta penyediaan makanan dan kemudahan tandas selain dilengkapi rangkaian Internet 5G serta capaian Starlink.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan