KUALA TERENGGANU, 16 April (Bernama) -- Terengganu dijangka menerima hasil langsung sebanyak RM40 juta setahun daripada projek ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang ketika ini memfokus kepada pembangunan Fasa 1 Blok 1 berkapasiti 640 megawatt (MW), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ia membabitkan bayaran kepada Lembaga Air Terengganu (LAUT) sebanyak RM37 juta bagi penggunaan permukaan air.
Beliau berkata sebanyak RM1.2 juta lagi diterima Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sebagai bayaran permit bagi penggunaan tanah untuk laluan kabel dari ladang solar terapung ke pencawang masuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Terengganu juga dianggar menerima pendapatan melalui cukai tanah, permit dan lesen kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu sebanyak RM750,000 manakala Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pengairan dan Saliran masing-masing menerima RM200,000 dan RM300,000 setahun," katanya di sini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) yang bertanya mengenai jumlah hasil bakal diraih kerajaan negeri daripada projek solar Tasik Kenyir.
Mohd Nurkhuzaini berkata pembangunan Fasa 1 Blok 1 daripada keseluruhan projek berkapasiti 2,500MW itu juga akan menyediakan sehingga 200 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau turut memaklumkan tender untuk kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi fasa dan blok berkenaan yang bernilai lebih RM2 bilion juga baru sahaja ditutup pada 15 Mac lepas.
Projek di tasik buatan berkeluasan 38,000 hektar itu merupakan antara 111 projek berimpak tinggi oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk tidak bergantung kepada industri minyak dan gas serta beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial